DENGAN strategi bijak dalam mengawal perlumbaan dari awal saingan, Azroy Hakeem Anuar berjaya meraikan kemenangan pada Ahad, setelah muncul juara di perlumbaan pusingan kedua, Kejuaraan MAM Super-bike Malaysia.
Saingan yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang itu telah menyaksikan Azroy, pelumba dari pasukan Boon Siew Honda kekal mendahului kategori perlumbaan MSBK1000 A.
Menurut Azroy, walaupun prestasi kelajuan jenteranya agak menurun di pertengahan perlumbaan, namun dia berjaya mengawal pacuan sehingga bergelar pemenang bagi perlumbaan kedua ini.
“Dari awal, saya cuba untuk keluar dari kelompok kumpulan pelumba. Dan saya rasa seperti di pertengahan perlumbaan, kelajuan saya semakin menurun (perlahan).
“Jadi, saya hanya cuba untuk mengawal pacuan saya, sekali gus tidak membiarkan pelumba-pelumba lain cuba menngganggu garisan perlumbaan saya, sehingga saya berjaya menamatkan perlumbaan pada 21’27:597s.
“Dalam masa yang sama, saya tidak sangka Azlan akan berada begitu dekat dengan saya pada pusingan terakhir perlumbaan. Tetapi, secara keseluruhan, ini adalah perlumbaan yang terbaik dan saya akan beraksi lebih cemerlang pada saingan seterusnya nanti,” kata Azroy selepas perlumbaan berakhir.
Pada perlumbaan tersebut, Azlan Shah Kamaruzaman dari pasukan HORIZON telah menduduki tempat kedua dengan catatan masa selama 21’27:840s. Ia disusuli dengan pelumba tempat ketiga, Nakarin Atiratphuvaphat yang merekod masa selama 21’31:121s.