PEMAIN tengah Kuching City FC, Danial Amier Norhisham nyata gembira dengan langkahnya berhijrah secara pinjaman kerana dia kembali mendapat keseronokan bermain bola sepak dan mahu mengembalikan semula sentuhan emas yang ada pada dirinya sebelum ini.
Danial menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum ini namun gagal menembusi kesebelasan utama Harimau Selatan namun kini mendapat peluang kedua apabila diberikan kepercayaan untuk menerajui barisan tengah Kuching City dalam menghadapi kempen Liga Malaysia 2024-2025.
“Syukur kerana dapat kembali dalam kesebelasan utama dan bermain di Liga Super dan untuk datang ke Cheras dan dapatkan satu mata bukan perkara mudah tetapi rasa rugi juga sebab tidak dapat bawa balik tiga mata kerana KL bermain dengan 10 pemain.

Danial kini kembali enjoy bermain bola sepak di Kuching City
“Saya turut berpuas hati dengan persembahan saya tetapi tidak mahu letak tekanan yang terlalu tinggi dan hanya mahu kembali gembira bermain bola sepak untuk dapatkan balik sentuhan dan momentum serta prestasi terbaik seperti dulu.
“Semuanya positif di sini dengan jurulatih Aidil Sharin memberi kepercayaan kepada saya dan dia banyak membantu untuk saya untuk kembali seperti dulu dan ini sangat menggembirakan saya,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Ditanya sama ada dia mahu menggunakan kesempatan ini untuk kembali merebut tempat dalam skuad kebangsaan, bekas bintang Felda United itu sememangnya mempunyai matlamat peribadi untuk kembali menyarung jersi Harimau Malaya.

Danial ketika menyarung jersi Harimau Malaya pada 2018 (kredit foto: FAM)
“Sudah tentu sebagai pemain yang pernah mewakili skuad kebangsaan, saya mahu kembali dalam pasukan tetapi buat masa sekarang saya hanya fokus untuk bantu Kuching City terlebih dahulu dengan berikan persembahan sebaik mungkin dan biarkan peminat nilai aksi saya,” jelasnya.