SAINGAN Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025, secara rasminya berakhir pada Ahad menyaksikan empat negara mengungguli saingan dan sebagai tuan rumah, Malaysia terus kempunan selepas kali terakhir Datuk Lee Chong Wei menjuarainya pada edisi 2018.
China paling menonjol apabila memiliki semua pemain dalam setiap lima final, namun Korea Selatan mencuri perhatian merangkul dua kejuaraan diikuti masing-masing satu China, Jepun dan Thailand.
Pembuka tirai Super 1,000 itu juga menjadi bukti, eksperimen beberapa negara yang menukar pasangan beregu selepas berakhir kitaran Olimpik di Paris, telah membuahkan hasil.
Buktinya beregu lelaki Korea Selatan dan beregu campuran Thailand yang merombak pasangan,berjaya memacu kejayaan.

Dechapol-Supissara kini sduah meraih dua gelaran, iaitu Terbuka MAlaysia 2025 dan Kumamoto Masters 2024.
Pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae tampil ke saingan Terbuka Malaysia dengan prestasi mantap sebelum memenangi perlawanan akhir dengan menewaskan beregu China, Chen Bo Yang-Liu Yi 2119-21, 21-12, 21-12.
Beregu campura Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran pula mengejutkan gandingan nombor satu dunia China, Feng Yan Zhe-Guang Dongping 21-13, 19-21, 21-18.
Beregu wanita juga dimenangi gandingan baharu Jepun, Yuki Fukushima-Matsumoto, manakala An Se Young menepati ramalan menjuarai perseorangan wanita, begitu juga dengan Shi Yu Qi yang menjuarai perseorangan lelaki.

Ketua jurulatih beregu campuran, Nova Widianto (kiri) mahu pemain reset pemikiran untuk fokus kepada saingan Terbuka India minggu ini.
Semua pemain negara yang beraksi di Terbuka Malaysia, kini beralih arah ke saingan Terbuka India berstatus Super 750 yang akan bermula esok (Selasa).
Bagi ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto mengakui, pemain negara terutamanya beregu utama, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei perlu lebih fokus agar kekuatan mental mereka stabil.
“Ini problem lama, tapi saya lihat masalah itu sudah mula di atasi tapi tidak konsisten. Untuk lawan beregu hebat seperti China mental kena lebih kuat dan mereka harus lebih tahan,” kata Nova.
Mengenai gandingan Hoo Pang Ron-Chen Su Yin pula, Nova berkata ,pasangan itu gagal mempamerkan permainan mereka yang sebenar di kejohanan bertaraf Super 1,000 itu.
Bagaimanapun beliau berharap pasangan itu bangkit pada Terbuka India.
“Saya nampak level mereka itu sudah bertambah. Jadi saya harap satu kali kalah jangan jadi hilang keyakinan,” katanya.
Pang Ron-Su Yin akan meneruskan aksi di Terbuka India dan perlu menghadapi Tang Jie-Ee Wei di pusingan pertama.