INSIDEN memalukan di Temasya Kemboja dua tahun lalu, menyebabkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) belum memuktamadkan senarai atlet kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk Sukan SEA Thailand.
Pengarah Kejurulatihan Beregu, Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menafikan kelewatan menyenaraikan pemain tidak ada kaitan dengan pertindihan jadual dengan kejohanan Jelajah Dunia Akhir seperti yang dilaporkan sebelum ini.
“Thailand hantar pasukan terkuat mereka kerana itu mereka ubah tarikh (badminton Sukan SEA) supaya tidak bertembung, dan kita juga harus pastikan hantar pasukan yang mampu mencabar dua kuasa besar, Indonesia dan Thailand untuk pingat emas,” tegas Rexy, ditemui pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Temasya Sukan SEA ke-33, di wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Aaron Chia-Soh Wooi Yik mahu berikan peluang kepada beregu pelapis ke Sukan SEA Thailand.
Katanya, perbincangan bersama jurulatih beregu lelaki, Herry Iman Pierngadi akan dibuat memandangkan Malaysia memiliki sekurang-kurangnya tiga pasangan yang mampu memberi saingan sengit.
Sebelum ini, Aaron Chia ada mengulas mahu memberi peluang kepada pemain muda, namun Rexy menegaskan perkara itu akan diputuskan kemudian.
“Man (Wei Chong) dan (Tee) Kai Wun, (Yap) Roy King-Arif Junaidi, Haikal (Nazri) -Choong Hon Jian… semua ini pada tahap yang boleh bersaing dengan pemain Thailand, malah kita juga tidak kekurangan pilihan di beregu campuran dan wanita,” ujarnya.
Beliau mengesahkan pasangan utama seperti Aaron-Wooi Yik, Pearly Tan-M Thinaah dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei masih dalam senarai, namun keputusan akhir belum dibuat.
“Kita minta beberapa hari lagi untuk tentukan senarai akhir, dan ia akan dimuktamadkan sebelum semua pemain berangkat ke Kejohanan Dunia,” katanya.