MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menyifatkan kejayaan pasukan luncur ombak negara meraih dua slot ke Sukan Asia 2026 di Jepun sebagai bukti bahawa Malaysia mampu mencipta kejutan di luar jangkaan.

Pencapaian itu hadir selepas skuad negara mengumpul mata kelayakan di Kejohanan Luncur Ombak Asia 2025 di India, sekali gus membuka lembaran baharu buat sukan luar arus perdana.

Menurut Hannah, ramai yang tidak menjangka luncur ombak mampu membawa atlet negara ke pentas Asia, namun pasukan tersebut telah membuktikan sebaliknya.

“Ini bukan sekadar kejayaan pasukan tetapi isyarat kepada semua belia bahawa peluang untuk cemerlang wujud di luar bidang yang biasa kita lihat,” katanya.

Beliau turut mengajak anak muda Malaysia agar tidak menghadkan impian mereka kepada laluan yang dianggap ‘selamat’ atau ‘biasa’. Katanya, dunia sukan sangat luas dan kadangkala kejayaan hadir dari arah yang tidak disangka. “Apabila gelombang kejayaan itu tiba, sambutlah dengan berani dan penuh keyakinan,” ujarnya.

Hannah menegaskan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus menjadi rakan perjuangan belia, dengan memberi sokongan bukan sahaja kepada sukan arus perdana, tetapi juga sukan yang mampu membuka peluang baharu untuk anak muda Malaysia mencipta nama di pentas dunia.

Pencapaian ini sekali lagi membuktikan bahawa keberanian untuk mencuba dan keluar dari zon selesa boleh membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi dalam arena sukan antarabangsa.