KELAB Sabah FC mengumumkan pelantikan jurulatih berpengalaman dari Australia, Jean-Paul de Marigny, sebagai ketua jurulatih baharu The Rhinos bagi saingan Liga Malaysia musim 2025/2026, berkuat kuasa hari ini.
De Marigny, yang memiliki rekod cemerlang dalam Liga Australia bersama Western Sydney Wanderers, Newcastle Jets dan Melbourne Victory, termasuk membantu Victory menjuarai liga pada musim 2014/15 dan 2017/18 — turut membawa pengalaman luas di peringkat antarabangsa.
Beliau pernah terlibat dengan pelbagai pasukan remaja kebangsaan Australia, dan terbaru bertindak sebagai penolong jurulatih kepada Brad Maloney bagi skuad bawah 17 tahun negara itu.
Kehadiran jurulatih berusia 60 tahun ini dijangka memberi nafas baharu kepada skuad Sabah FC, yang berhasrat memperbaiki pencapaian musim lalu.
Reputasi dan pengalamannya di pentas liga kompetitif serta pembangunan bakat muda menjadi aset penting buat The Rhinos untuk bersaing lebih sengit musim ini.