SABAH FC bangkit pada saat-saat akhir untuk mencuri satu mata di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur apabila tandukan pemain gantian, Gabriel Peres pada minit ke-90+2 memastikan keputusan seri 1-1 menentang KL City FC dalam aksi Liga Super, Rabu malam.
Perlawanan yang menyaksikan aksi berbalas serangan sejak awal berlangsung sengit tanpa jaringan hingga minit ke-66 apabila Declan Lambert meledak gol pembukaan buat skuad The City Boys.
Keadaan bertambah sukar buat Sabah apabila kehilangan tonggak, Dean Pelekanos, selepas menerima kad merah di hujung babak pertama.
Bermain dengan 10 pemain, The Rhinos terpaksa bertahan daripada asakan berterusan pasukan tuan rumah yang memburu kemenangan kedua musim ini.
Namun, kegigihan para pemain Sabah akhirnya membuahkan hasil apabila Peres menanduk masuk bola hasil hantaran rakan sepasukan di masa kecederaan, sekali gus memadam sorakan awal penyokong KL City.
Keputusan ini menyaksikan Sabah memulakan kempen Liga Super 2025/2026 dengan satu mata di tempat lawan, manakala KL City terpaksa berpuas hati dengan perkongsian mata meskipun menguasai sebahagian besar permainan.