PEMAIN profesional terus mempamerkan kejutan di Kejohanan Kebangsaan badminton yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara, yang memasuki pusingan suku akhir.

Perseorangan lelaki, Lim Chi Wing melangkah ke separuh akhir selepas mengatasi pemain kebangsaan yang bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Aidil Sholeh Ali Sadikin 22-20, 21-8.

Kejayaannya itu, membuka laluan untuk bertemu pilihan utama, Leong Jun Hao, yang berjaya menewaskan seorang lagi pemain profesional Lim Chong King straight set  21-19, 24-22, dalam aksi cukup menghiburkan.

Lim Chi Wing, diletakkan selaku pilihan 9/16, mengejutkan Adil Sholeh pilihan 5/8 di suku akhir Kejohanan Kebangsaan. – Pix Agensi

“Untuk perlawanan hari ini saya sudah membuat persiapan rapi dan sudah menjangka aksi hari ini akan penat sebab dia seorang pemain yang suka main rally.

“Kunci kemenangan hari ini mungkin saya berjaya mengawal tekanan berbanding lawan saya,”katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Sementara itu Jun Hao mengakui tidak sabar untuk berdepan Chi Wing, pemain senior yang dianggapnya seperti seorang abang, kerana membantunya di awal kerier.

Leong Jun Hao, menepati status pilihan utama kejohanan. Pix Agensi

Begitupun, Jun Hao enggan meletakkan penghormatan terlalu tinggi kepada Chi Wing kerana mahu memastikan slot final miliknya.

“Dia (Chi Wing) memang pemain yang berpengalaman. Kami pernah berlatih sama-sama dahulu sebab sama-sama  dari Kuala Lumpur dan juga merupakan kawan yang rapat yang saya kenal sejak berusia 9 tahun.

“Walaupun dekat luar kami kawan baik, tapi apabila dalam gelanggang hanya akan ada satu sahaja yang akan keluar sebagai pemenang.

“Apapun saya kena buat persiapan yang terbaik walaupun sebelum ini pernah lawan dia tapi itu semua sudah lama. Jadi harap mampu beri aksi yang terbaik esok,” kata Jun Hao.