
Skuad olahraga akan jalani latihan di Australia

RASA teruja apabila mengetahui Muhammad Azeem Mohd Fahmi terus bersinar di Amerika Syarikat (AS), malah sebagai rakan senegara, Muhammad Haiqal Hanafi tidak cemburu dengan pencapaian Azeem itu.
Azeem menjengah usia 19 tahun, kini menjalani latihan dan melanjutkan pengajiannya di Universiti Auburn sejak bulan lalu, sudah dua kali memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 60m dalam dewan.
Bermula dengan mencipta rekod baru kebangsaan acara 100m di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Colombia, Ogos tahun lalu, anak kelahiran Perak itu mula itu terus mempamerkan prestasi memberangsangkan dengan memimpin catatan terbaik acara itu berbanding pelari senior sepanjang tahun lalu.

Azeem Fahmi sememangnya taruhan terbaik negara memburu pingat emas 100m lelaki di Sukan Sea Kemboja.
Pencapaian Azeem itu sebaliknya menjadikan Haiqal, 24, yang juga pemenang pingat emas 100 meter (m) Sukan SEA Manila 2019 itu lebih bermotivasi.
“Saya tidak cemburu dengan pencapaian Azeem kerana dia memang berbakat, jadi memang rezeki dia. Saya harap dia di sana (AS) nanti boleh melakukan catatan yang lebih baik, saya percaya dia boleh buat bawah 10s.
“Apa yang ditunjukkan Azeem kepada Malaysia sejak tahun lalu lagi sememangnya membakar semangat saya untuk melakukan yang lebih baik lagi. Saya sedar ia bukan mudah tetapi saya akan terus bekerja keras,” kata Haiqal.
Haiqal jelas tidak mahu ketinggalan apabila menjuarai saingan 100m Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) 2023 dengan catatan 10.46s pada Sabtu.
Catatan itu membolehkan Haiqal mengesahkan tiket secara merit ke Sukan SEA Kemboja, Mei depan.
Haiqal berkata, sebagai persiapan ke Kemboja, dia bersama atlet negara yang lain kemungkinan besar akan berkampung di Brisbane, Australia selama dua minggu, bulan depan bagi menjalani latihan dan menyertai kejohanan di sana.
“Ikut perancangan ada dua kejohanan pada waktu itu nanti termasuklah Terbuka Australia. Saya harap di sana nanti saya dapat perbaiki kelemahan dan buat persiapan terbaik.
“Pada masa yang sama, saya juga minta dijauhkan daripada kecederaan kerana apabila cedera, memang ambil masa yang lama untuk pulih,” kata Haiqal yang turut akan beraksi dalam acara 4x100m di Kemboja bersama Khairul Hafiz Jantan, Muhammad Arsyad Md Saat dan Muhammad Zulfiqar Ismail.