DUNIA sukan Thailand dikejutkan dengan kejatuhan seorang bekas wira negara apabila bekas juara emas Olimpik, Manus Boonjumnong, akhirnya ditahan polis selepas lama menghilangkan diri daripada pihak berkuasa berhubung kes penipuan loteri.

Manus, 45, yang pernah mencipta sejarah menghadiahkan pingat emas Olimpik Athens 2004 dan perak di Beijing 2008 dalam kategori light welterweight, diberkas di sebuah lokasi persembunyian di wilayah Nonthaburi selepas menjadi buruan polis kerana gagal hadir ke mahkamah bagi dua pertuduhan penipuan.

Menurut pihak polis Thailand, bekas petinju kebangsaan itu didakwa memperdaya beberapa mangsa melibatkan kerugian kira-kira dua juta baht (RM260,000) menerusi skim kuota tiket loteri kerajaan pada tahun 2021. Kes berkenaan menyaksikan mahkamah sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara selama dua tahun sembilan bulan terhadap Manus.

Namun, Manus gagal hadir ke mahkamah bagi proses pelaksanaan hukuman awal tahun ini sebelum bertindak melarikan diri, sekali gus mencetuskan waran tangkap ke atasnya. Situasi itu berakhir apabila mahkamah mengarahkan beliau dipenjarakan di Penjara Reman Bangkok pada 19 Disember lalu selepas penahanannya disahkan.

Kejadian ini mencorakkan episod hitam dalam perjalanan karier seorang atlet yang pernah diagungkan sebagai simbol kejayaan sukan Thailand di pentas dunia, sekali gus menjadi peringatan bahawa kegemilangan di gelanggang tidak menjamin keselamatan daripada tindakan undang-undang di luar arena sukan.