LEGENDA badminton negara, Datuk Rashid Sidek optimis Malaysia memiliki kombinasi beregu kuat dan perseorangan berkualiti untuk mencipta kejutan pada kempen Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark.

Menurutnya, kejohanan berpasukan yang berlangsung dari 24 April hingga 3 Mei itu sering menghadirkan keputusan di luar jangkaan dan membuka ruang buat mana-mana pasukan menyerlah.

Rashid menegaskan prestasi semasa pemain seperti Lee Zii Jia tidak seharusnya dijadikan ukuran mutlak untuk meragui peluang skuad negara.

Datuk Rashid Sidek, optimis perancangan strategik pasukan Piala Thomas kali ini mempunyai kelebihan tersendiri.

“Ini acara berpasukan, kalau satu tumbang yang lain boleh bantu dan tutup kekurangan itu, paling penting semangat pasukan dan matlamat yang sama,” katanya, memberikan pandangan positif sebagai penyuntik semangat kepada pemain yang bakal diberi tanggungjawab menggalas tugas besar itu.

Malaysia dijangka mempertaruhkan barisan perseorangan diketuai Lee Zii Jia bersama Leong Jun Hao dan Justin Hoh selain kekuatan utama dalam acara beregu.

Lee Zii Jia berada di posisi perseorangan letiga atau empat negara ketika ini.

“Beregu kita memang kuat, perseorangan pula bukanlah lemah sangat kerana masih ada kualiti, kita cuma perlu cari satu kemenangan daripada perseorangan,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan kejutan bukan sesuatu mustahil dengan merujuk kejayaan India menjuarai edisi 2022 yang mengejutkan ramai pihak.

Untuk rekod, Malaysia mara ke separuh akhir edisi lalu sebelum tewas kepada juara China, namun kali ini peluang kembali terbuka untuk skuad negara melakar sejarah.