SUKAN silat kini berada di landasan terbaik untuk disenaraikan semula di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas melepasi syarat utama Agensi Anti Doping Dunia (WADA), sekali gus menyuntik keyakinan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA).

Presidennya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, mendedahkan pengiktirafan badan anti-doping dunia itu menjadi faktor penting dalam usaha mengembalikan silat ke temasya terbesar Asia itu.

Menurutnya, keputusan rasmi mengenai status silat dijangka diketahui selewat-lewatnya April ini selepas proses penilaian oleh tuan rumah, Jepun.

“Persilat telah menghantar permohonan pada hujung tahun lalu dan kita telah melepasi tapisan WADA, kini tuan rumah mempunyai kuasa menentukan sukan yang akan dimasukkan,” katanya.

Presiden PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin yakin silat dipertandingkan di Sukan Asia.

Usaha melobi kini giat dijalankan dengan diketuai Presiden Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT), Prabowo Subianto bagi memastikan silat terus mendapat tempat di pentas Asia.

“Setakat ini lebih 20 negara dari lima zon Asia sudah bersedia mengambil bahagian termasuk Uzbekistan, Kazakhstan, Jepun dan Korea Selatan yang memiliki pasukan mantap,” katanya.

Megat Zulkarnain turut melihat penampilan silat sebagai sukan demonstrasi di Sukan Olimpik Paris 2024 sebagai kelebihan besar dalam menarik perhatian penganjur.

Dalam perkembangan sama, skuad baharu negara akan diuji di Kejohanan Silat Terbuka Belgium di Schoten minggu ini, sebagai persiapan awal menghadapi kemungkinan silat kembali dipertandingkan di pentas Sukan Asia.