PENYERANG berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva mengakui tidak tertekan dengan tumpuan yang diperolehinya dari media Eropah sebaliknya berbangga apabila dapat membantu JDT dan Liga Malaysia lebih dikenali ramai.

Sebelum ini Bergson telah menarik perhatian media Itali, Sky Sports Italia dan 20 Minutes dari Perancis sebagai penjaring terbanyak untuk tahun 2022 mengatasi beberapa penyerang antarabangsa lain seperti Erling Haaland, Kylian Mbappe dan Robert Lewandowski.

Pemain berusia 32 tahun itu bagaimanapun tidak merasakan itu sebagai tekanan sebaliknya penghargaan atas usaha keras yang dilakukannya di JDT dan akan terus memburu gol untuk membantu Harimau Selatan memenangi gelaran demi gelaran.

Bergson juga tidak memikirkan atau meletakkan sasaran untuk mengekalkan trofi penjaring terbanyak Liga Super musim ini kerana apa yang penting baginya adalah mencipta kemenangan buat pasukan.

“Bagi saya ianya adalah berita baik kerana lebih ramai orang mengenali saya tetapi apa yang lebih penting semakin ramai mengenali JDT, Liga Malaysia dan pasukan Asia. Itu adalah idea saya apabila tiba dari Brazil untuk membawa nama saya dan nama pasukan saya ke tahap yang lebih tinggi dan saya akan terus menjaringkan gol bagi memastikan JDT kekal di atas,” katanya ketika menjawab soalan FLASH SUKAN.

“Saya tidak pernah terfikir mengenai perkara itu kerana bagi saya apa yang penting adalah untuk pasukan memperoleh kemenangan dan kejuaraan. Ini adalah kejuaraan pertama JDT untuk musim ini. Kita juga tahu musim ini lebih sukar kerana kita memperoleh pelbagai kejayaan musim lalu dan atas sebab itu sasaran saya musim ini adalah untuk terus memenangi kejuaraan buat JDT,” tambahnya.

 

Dia juga menceritakan detik-detik jaringannya yang menewaskan Suhaimi Hussin dengan mengatakan dia tidak nampak jelas di mana bola itu berada sehinggalah pertahanan Terengganu melakukan kesilapan dan apa yang penting adalah dia ada di tempat yang betul untuk menjaringkan gol itu.

Bergson berjaya menyumbang satu gol dan satu bantuan jaringan kepada Juan Muniz untuk membantu Harimau Selatan menjulang Piala Sumbangsih kali keenam berturut-turut dan juga tiga mata untuk aksi pembukaan Liga Super musim ini.