JOHOR Darul Ta’zim JDT) memasang impian untuk tidak kecundang buat kali kedua apabila berhadapan kelab Thailand, BG Pathum United dalam aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Pathum Thani pada Selasa.

Pengendali JDT, Esteban Solari berkata, selepas tewas 0-1 kepada Kawasaki Frontale dari Jepun dalam aksi pertama saingan ACL, ia memberi pengertian cukup bermakna berhubung kekalahan dan menjadi motivasi buat setiap pemain supaya bangkit dengan lebih mantap.

Persiapan yang dilakukan juga sangat baik dengan seluruh konsentrasi akan diberikan untuk aksi ACL dan mahu dia mahu pemain tampil lebih baik pada aksi kedua.

“Kita tahu akan berdepan aksi sukar apabila kami bertandang ke gelanggang lawan dan menentang pasukan yang memiliki barisan pemain yang berkualiti yang bermain corak permainan mantap.

“Saya jangkakan ia perlawanan menarik kerana kami juga akan tampil dengan permainan berintensiti tinggi dan meningkatkan lagi disiplin taktikal untuk mengimbangi kekuatan lawan dan mahu tampil lebih agresif dalam usaha memburu kemenangan pertama.

“Seperti yang saya katakan, kami di JDT mahukan kemenangan dan kami akan bangkit dengan lebih mantap selain mahu mengekalkan momentum permainan dan tiga mata pertama amat penting bagi kami,” katanya.

Pengendali kelahiran Argentina itu juga menambah adalah penting untuk menggabungkan segala perancangan taktikal di kalangan barisan kejurulatihan bagi membentuk dimensi permainan yang lebih konsisten dan ianya sering dipratikkan sebelum berdepan dengan mana-mana pasukan.

Ditanya mengenai status Jordi Amat yang tidak diturunkan dalam dua aksi terakhir, Solari menyatakan kecederaan yang dialami pemain pertahanan naturalisasi Indonesia itu sudah pulih dan dia bersedia untuk diturunkan di Pathum Thani.

“Jordi sudah bersama rakan sepasukan menjalani latihan dan dia nampak bersedia dan berkeyakinan untuk memberi persembahan terbaik. JDT akan turun dengan kesebelasan terbaik untuk membawa pulang tiga mata dan segala kelemahan sudah diperkemaskan,” jelasnya.

Aksi BG Pathum dan JDT pastinya menjadi tumpuan penyokong bola sepak tempatan apabila dua kelab Asia Tenggara ini akan membuktikan kejaguhan masing-masing di peringkat terbesar Asia dengan kedua-dua kelab mahu mencari kemenangan pertama mereka musim ini.