PENYERANG Amerika de Cali, Rodrigo Holgado dilaporkan sudah berada di Malaysia bersama wakilnya selepas dikenakan penggantungan oleh FIFA bersama enam lagi pemain warisan Harimau Malaya.
Menurut wartawan Colombia, Holgado memilih untuk segera ke Malaysia bagi memberi tumpuan terhadap proses rayuan yang perlu difailkan dalam tempoh 10 hari. Kehadirannya dilihat sebagai usaha mempercepatkan penyelarasan dokumen serta membantu FAM menyediakan bukti kukuh bagi membela nasib pemain-pemain terbabit.
Holgado antara tonggak penting yang digantung sementara selepas FIFA mendapati berlaku isu teknikal dalam penyerahan dokumen naturalisasi pemain kepada badan induk itu. Situasi ini turut menjejaskan persiapan skuad kebangsaan menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos pada 9 Oktober depan.

Meskipun berdepan ketidaktentuan, kehadiran Holgado di Malaysia disifatkan sebagai langkah positif untuk menjernihkan keadaan. Sekiranya ada perincian sah mengenai datuk atau nenek beliau, ia boleh menjadi kunci penting dalam melicinkan proses rayuan FAM kepada FIFA.
Buat masa ini, Harimau Malaya masih menunggu dokumen penuh penghakiman daripada FIFA sebelum mengemukakan rayuan rasmi. Tekanan makin dirasai kerana penggantungan tujuh pemain berpotensi menjejaskan kekuatan skuad kendalian Peter Cklamovski untuk aksi kompetitif yang bakal tiba.
Peminat kini hanya mampu menanti perkembangan lanjut, dengan harapan isu ini dapat diselesaikan segera supaya Holgado dan rakan-rakan warisan lain boleh kembali memperkuatkan Harimau Malaya di pentas antarabangsa.