MENJELANG saingan Piala Mandiri B-23 ASEAN 2025 di Indonesia Julai ini, skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara akan terlebih dahulu melalui satu fasa persediaan penting menerusi penganjuran “Elite Games” inisiatif baharu hasil cetusan idea Pengarah Teknikal FAM, Tan Cheng Hoe dan ketua jurulatih B-23 negara, Nafuzi Zain.
Elite Games yang akan berlangsung pada 24, 25 dan 27 Jun ini merupakan platform sparring dalaman membabitkan pemain-pemain B-23, B-20 dan B-18 untuk diuji secara intensif dalam masa singkat. Menurut Tan Cheng Hoe, ini bukan sahaja membantu menilai kemampuan pemain dari aspek teknikal dan taktikal, malah mempercepatkan proses pembentukan pasukan elit masa depan bola sepak Malaysia.
“Ini kali pertama Elite Games dianjurkan dan ia bukan hanya tertumpu kepada skuad B-23. Kami mahu kumpulkan pemain berbakat dari pelbagai kategori umur untuk diuji dan diperhalusi secara menyeluruh. Jika masa mengizinkan, kita akan adakan setiap bulan,” jelasnya ketika sidang media di Wisma FAM.

Sementara itu, Nafuzi Zain menganggap Elite Games sebagai pentas terbaik untuk melakukan penilaian awal sebelum kem latihan rasmi bermula. Beliau menekankan keperluan memiliki kelompok pemain muda yang bersedia untuk menghadapi bukan sahaja kejohanan di Indonesia nanti, malah pusingan kelayakan Piala Asia B-23 AFC pada September dan Sukan SEA hujung tahun ini.
“Melalui Elite Games, saya dapat lihat pemain-pemain dengan lebih dekat sebelum membuat keputusan penting. Kita perlukan pemain yang bukan sahaja berbakat tetapi juga memiliki mentaliti kompetitif dan cepat serasi dengan corak permainan yang saya mahukan,” katanya.
Dengan misi membentuk skuad B-23 yang lebih tersusun dan kompetitif, Elite Games dilihat sebagai pendekatan strategik FAM dalam menyaring bakat terbaik, sekali gus memberi ruang kepada pemain muda membuktikan kemampuan mereka sebelum senarai akhir ke Piala Mandiri dimuktamadkan pada 1 Julai.