LALIGA mengukuhkan lagi komitmennya terhadap pasaran Malaysia menerusi penganjuran edisi kedua LALIGA EXTRATIME dianjurkan oleh ShekhinahPR yang berlangsung penuh prestij di Hotel Meliá Kuala Lumpur, pada Khamis— menyaksikan perbincangan tumpuan terhadap dua elemen penting dalam industri sukan negara: penajaan dan pembangunan bola sepak akar umbi.
Acara rangkaian eksklusif anjuran liga bola sepak utama Sepanyol itu menjadi bukti betapa Malaysia kekal sebagai pasaran strategik bagi mereka, dengan kehadiran tokoh penting termasuk Datuk Zainal Abidin Hassan (wakil FAM), Duta Besar Sepanyol ke Malaysia, José Luis Pardo serta pemain industri dari LALIGA, ASTRO, MILO Malaysia, Grab, Ampersand Sports, Selangor FC dan beberapa akademi bola sepak ternama.

Ketua LALIGA Malaysia, Adrián Prol, (kiri) bersama Datuk Zainal Abidin Hassan (wakil FAM), Duta Besar Sepanyol ke Malaysia, José Luis Pardo dalam majlis perasmian Laliga Extratime. FOTO: ShekhinahPR
Ketua LALIGA Malaysia, Adrián Prol, mendedahkan bahawa pendapatan komersial liga itu melonjak lebih dua kali ganda sejak tujuh tahun lalu, hasil pendekatan fleksibel dan penyesuaian dalam mencari penaja relevan secara global. Menariknya, LALIGA menyatakan minat untuk menjalinkan kerjasama jangka panjang bersama penaja tempatan dalam sektor tenaga, kewangan, penerbangan, jam tangan dan insurans — petanda jelas bahawa Malaysia bukan sekadar pasaran pasif, malah antara sasaran utama untuk berkembang bersama.
Lebih penting, acara itu turut menegaskan peranan besar Malaysia dalam strategi pembangunan akar umbi LALIGA, termasuk pengendalian LALIGA Academy Malaysia – satu daripada hanya lapan akademi rasmi mereka di dunia. Akademi itu kini menjadi pusat pembangunan bakat berusia 8 hingga 18 tahun dengan bimbingan terus dari jurulatih bertauliah menggunakan metodologi rasmi LALIGA.

Daniel Wong, Ketua Pegawai Eksekutif Sambil Park, menerangkan Pembentangan mengenai Kejohanan Belia LALIGA Malaysia. FOTO: ShekhinahPR
Sepanjang acara berlangsung, satu pengumuman penting turut dibuat — edisi kelima LALIGA Youth Tournament Malaysia akan diadakan pada Julai ini, melibatkan lebih 70 pasukan belia dari sembilan negara termasuk China, India dan Pakistan. Malaysia kekal sebagai tuan rumah utama sebelum kejohanan itu dikembangkan ke lima negara serantau lain, sekali gus meneguhkan kedudukan tanah air sebagai hab pembangunan bola sepak belia Asia Tenggara.
LALIGA sekali lagi membuktikan bahawa jenamanya bukan sekadar gah di peringkat elit Eropah, tetapi bersungguh-sungguh mahu mencorakkan masa depan bola sepak dunia, bermula dari akar umbi – dan Malaysia kini jelas berada dalam radar utama mereka.