TIADA hadiah istimewa untuk meraikan hari jadi penembak veteran negara, Nur Suryani Mohamed Taibi hari ini, apabila dia terlepas peluang ke final acara menembak 10 meter (m) air rifle individu wanita, temasya Sukan Asia Hangzhou.

Pada pusingan kelayakan di Pusat Sukan Fuyang Yinhu, Nur Suryani yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-41 pada hari ini, gagal menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik.

Pemenang pingat perak acara 50m prone rifle individu dan gangsa 50m prone rifle berpasukan, di Sukan Asia Incheon, 2014 itu, menamatkan saingan di tempat ke-44 daripada 62 peserta selepas meraih 617.8 mata.

Penembak muda negara Alia Husna Budruddin, pula berada di kedudukan ke-39 selepas mengumpul 619.9 mata.

Begitupun, Nur Suryani masih mempunyai peluang untuk mendapatkan hadiah hari kelahirannya di sini, apabila beraksi dalam acara 10m air rifle pasukan campuran pada Selasa dan 50m rifle tiga posisi bersama Alia pada Rabu, yang juga merupakan acara tumpuan skuad negara.

Jurulatih kebangsaan Muhamad Zubair Mohammad berkata, kedua-dua anak buahnya memberikan maklum balas yang positif dan berada pada tahap emosi yang baik selepas aksi pemanas badan itu.

“Jurang antara kita dan negara lain memang tinggi, kita perlu banyak perbaiki. Namun, penembak kita sedang menunjukkan perkembangan yang positif, dan diharap untuk pamer prestasi lebih baik pada acara 50m tiga posisi nanti,” katanya.

Nur Suryani Mohd Taibi akan beraksi dalam dua lagi acara. -Pix File NSTP

Sementara itu, juara dunia 2023, Han Jiayu dari China ungguli pusingan kelayakan berkenaan dengan catatan rekod baharu temasya dan Asia selepas membidik 634.1 mata, diikuti Ramita Jindal dari India (631.9) dan seorang lagi wakil tuan rumah Wang Zhilin (631.6).

Prestasi Han pada hari ini menyaksikan beliau mengatasi rekod Asia (634.0) dan Sukan Asia (631.9) rakan senegaranya, Zhao Ruozhu.

Namun pada final, seorang lagi pembidik China, Huang Yuting mengatasi Han (251.3) untuk rangkul emas dengan mencatatkan rekod baharu temasya menerusi 252.7 mata, manakala Ramita (230.1) bawa pulang gangsa.

Zhao merupakan pemilik rekod terdahulu dengan 250.9 mata, yang dicatatkannya untuk rangkul emas edisi 2018 di Jakarta-Palembang.

Pada esok, kem menembak negara akan mempertaruhkan Haritz Iklil Hessly Hafiz pada saingan dalam acara 10m air rifle lelaki, berdepan pemegang rekod dunia dari China, Sheng Lihao pada penampilan pertamanya di Asiad.