KELAB RFG X Selangor Muaythai yang diwakili Nur Dhea Salsabila Saifulddin Yusof, sekali lagi berjaya mengharumkan nama selepas dinobatkan sebagai juara dalam kategori 42 kg di Kejohanan Move On Challenge Selangor Open 2024 pada Sabtu.
Kemenangan ini membuktikan ketekunan dan dedikasi atlet muda yang berusia 13 tahun ini dalam sukan Muay Thai yang semakin popular di Malaysia.
Usai pertandingan, Dhea berkongsi perasaan gembiranya selepas mengharungi cabaran dalam perlawanan tersebut.
“Saya sangat gembira lepas menang perlawanan ini dan segala penat lelah saya selama ini membuahkan hasil, jadi saya sangat-sangat bersyukur saya peroleh kemenangan,” Kata Dhea kepada Flash sukan.
Dhea turut menyatakan penghargaan kepada individu yang paling memberi inspirasi dalam hidupnya, iaitu ayahnya.
“Sudah pasti yang paling banyak memberi inspirasi kepada saya adalah ayah saya dengan semangat dan sokongan yang telah dia berikan kepada saya.
“Impian saya selepas ini saya mahu menjadi atlet untuk mewakili negara dan paling penting saya akan membanggakan ibu dan ayah saya nanti,” katanya lagi.
Tambahan, kejohanan ini merupakan penutup bagi tahun 2024, dia akan memberi fokus kepada persiapan akademik untuk menghadapi peperiksaan yang bakal tiba.
Walau bagaimanapun, Dhea menegaskan bahawa dia akan kembali bekerja keras dalam sukan Muay Thai selepas selesai peperiksaan.
“Kejohanan ini adalah yang terakhir untuk tahun ini, saya akan fokus dalam peperiksaan saya akan datang dan insyaallah saya akan kembali bekerja keras dalam sukan ini,” jelasnya.