PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari mengesahkan ada kemungkinan kelab itu bekerjasama dengan bekas pemain Manchester United dan pemain antarabangsa Colombia, Radamel Falcao.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan daripada media semasa sidang media selepas perlawanan antara kelabnya dan Kuala Lumpur City FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Rabu.

Falcao sebelum ini dikaitkan dengan JDT malah penyerang Colombia itu turut memuat naik video ucapan selamat maju jaya kepada Harimau Selatan menjelang perlawanan Piala Sumbangsih minggu lalu.

 

Namun Solari tidak mahu memberikan komen lebih lanjut sebaliknya menyerahkan segala keputusan itu untuk dibuat oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim

“Kami tahu ada peluang untuk kerjasama itu. Boss (Tunku Ismail) sedang mengusahakannya. Kelab besar seperti ini tahu yang mungkin ada peluang itu tetapi kami masih menunggu berita lebih lanjut. Saya tidak boleh berkata lebih lagi kerana semuanya bergantung kepada boss,” katanya.

Desas-desus kehadiran Falcao ke JDT semakin kencang selepas media Sepanyol, Marca melaporkan penyerang Rayo Vallecano itu yang bakal tamat kontrak pada Jun bakal menandatangani kontrak selama dua tahun dengan JDT pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia pada Julai 2023.

JDT masih mempunyai satu slot pemain import selepas Endrick Dos Santas berjaya dinaturalisasikan dan ini menguatkan lagi ura-ura yang mengaitkan Falcao ke Iskandar Puteri.