PENGENDALI Johor Darul Ta’zim FC (JDT), Xisco Munoz menyifatkan kejayaan pasukannya melangkah ke suku akhir AFC Champions League Elite (ACLE) buat kali pertama sebagai satu pencapaian bersejarah buat kelab itu.

Walaupun tewas 0-1 kepada Sanfrecce Hiroshima pada aksi timbal balik pusingan 16 Zon Timur di Stadium Edion Peace Wing, Hiroshima, JDT tetap mara ke peringkat seterusnya hasil kemenangan 3-1 pada aksi pertama sekali gus memastikan kelebihan agregat 3-2.

Menurut Munoz, kejayaan itu bukan hanya hasil usaha barisan pemain dan jurulatih, tetapi juga didorong oleh visi jangka panjang pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sentiasa memberikan sokongan serta kata-kata semangat kepada pasukan.

“Memang menakjubkan, bukan satu tugas mudah untuk layak tetapi kami berpegang kepada kata-kata Boss (Tunku Mahkota Ismail) bahawa tiada yang mustahil dan setiap kerja keras pasti ada ganjarannya.

“Itu yang menjadi pendorong untuk kami tekad melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin,” katanya.

Munoz turut mengakui perlawanan menentang kelab Jepun itu bukan sesuatu yang mudah memandangkan lawan memiliki barisan pemain berkualiti serta kerap mencipta ancaman terutama menerusi situasi bola mati.

“Walaupun mereka berjaya mengurangkan defisit jaringan menerusi sepakan penalti, ia tidak memberi tekanan besar kepada kami kerana jaringan itu hadir pada penghujung permainan dan pemain kekal fokus mempertahankan kelebihan agregat,” katanya.

Jurulatih kelahiran Sepanyol itu turut mengakui musim ini cukup mencabar buat JDT kerana perlu mengharungi jadual padat yang merangkumi saingan domestik, ACLE serta ASEAN Club Championship yang menuntut perjalanan jauh.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan segala usaha itu berbaloi apabila impian untuk melangkah ke suku akhir ACLE akhirnya menjadi kenyataan sekali gus memberikan pengalaman berharga buat skuad Harimau Selatan menjelang cabaran lebih getir selepas ini.