KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) terus memperkukuh pembangunan industri e-sukan negara apabila melancarkan Dana E-Sukan KBS (DEK) 2026 dan Malaysia Esports Accelerator Program (MEAP) 2026 dengan jumlah keseluruhan peruntukan RM1.5 juta.
Pelancaran kedua-dua inisiatif itu disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari di ESI Grand Hall, Spacerubix, di sini, hari ini.
DEK 2026 yang memasuki tahun keempat pelaksanaannya menyediakan peruntukan RM1 juta bagi menyokong pelbagai projek berkaitan kejohanan e-sukan dan pembangunan kandungan digital di seluruh negara.
Menerusi dana itu, setiap projek yang layak boleh menerima bantuan sehingga RM20,000 bagi dua kategori utama iaitu penganjuran kejohanan e-sukan serta pembangunan kandungan digital.
Program berkenaan disasarkan mampu menarik penyertaan sehingga 9,000 peserta selain menjana kira-kira 2.5 juta tontonan di pelbagai platform digital sekali gus membantu merancakkan pertumbuhan ekosistem e-sukan negara.
Dalam masa sama, MEAP 2026 turut diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi membantu mempersiapkan pasukan serta pemain tempatan yang berpotensi untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
Sokongan yang disediakan menerusi program tersebut merangkumi bantuan dana hospitaliti, latihan dalaman intensif serta persediaan ketahanan mental kepada atlet yang membawa nama negara.

Dr Mohammed Taufiq berkata kedua-dua inisiatif berkenaan memainkan peranan penting dalam usaha kerajaan memperkukuh pembangunan e-sukan dari peringkat akar umbi hingga ke pentas antarabangsa.
Menurutnya, DEK memberi peluang kepada lebih ramai belia dan komuniti tempatan untuk terlibat secara aktif dalam industri e-sukan sama ada sebagai pemain, penganjur atau pencipta kandungan digital.
“Pada masa sama, MEAP 2026 memberi tumpuan kepada pasukan serta pemain yang mempunyai potensi besar untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Esports Integrated (ESI), Ahmed Faris Amir berkata pihaknya akan terus komited melaksanakan kedua-dua program berkenaan secara tersusun menerusi kerjasama strategik bersama pemain industri, penerbit permainan serta pihak swasta.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan ekosistem e-sukan negara terus berkembang secara mampan selain mampu bersaing dengan negara lain di peringkat global.