PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT) gembira dengan komitmen yang ditunjukkan oleh para pemainnya yang bermain baik sehingga kemenangan ke atas Sarawak United FC kelihatan mudah.
Mora juga menjelaskan dia memberikan masa permainan kepada para pemain yang kurang mendapat minit permainan dan beliau juga gembira dengan kesungguhan Bergson walaupun beliau gagal menjaringkan gol.
Jurulatih Mexico ini juga akan mengambil pendekatan satu perlawanan setiap masa dengan fokus selepas ini adalah menyediakan pasukan untuk menentang Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super.
“Ianya bukan satu permainan yang mudah tetapi komitmen pemain yang menjadikan kemenangan ini kelihatan mudah. Bukan mudah untuk memastikan setiap pemain bermain bersungguh-sungguh untuk setiap permainan dan kami memang cuba untuk memenangi segala pertandingan yang kami sertai.
“Saya juga memberikan pemain-pemain yang kurang masa permainan bermain sementara beberapa pemain utama sedang menjalani proses pemulihan dan saya yakin semua pemain akan kembali cergas selepas liga bersambung semula.
“Saya gembira dengan cara permainan Bergson meskipun dia gagal menjaringkan gol kerana ini adalah ‘attitude’ seorang penyerang yang baik.
“Kami akan mengambil langkah satu perlawanan setiap masa dan kini kami akan fokus kepada perlawanan menentang Sri Pahang FC sebelum memikirkan siapa lawan kami dalam suku akhir Piala FA nanti,” jelasnya selepas perlawanan.
JDT layak ke peringkat suku akhir Piala FA selepas berjaya menewaskan Sarawak United 3-0 pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.