DUNIA hoki negara berdukacita dengan kehilangan satu permata apabila legenda dan bekas ketua jurulatih kebangsaan, C Paramalingam, menghembuskan nafas terakhir hari ini pada usia 91 tahun, semalam.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memaklumkan pemergian tokoh besar itu menerusi hantaran di Facebook sambil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.

Menurut KHM, mendiang jurulatih C Paramalingam adalah legenda hoki negara dan bekas ketua jurulatih yang pernah membawa skuad remaja Malaysia beraksi di Piala Dunia Remaja Barcelona 1993.

Jasa dan pengorbanan mendiang yang mencintai sukan hoki hingga ke hujung usia akan sentiasa dikenang dan dihargai oleh seluruh warga hoki tanah air.

Dilahirkan di Taiping, Perak, Paramalingam pernah mengharumkan nama negara sebagai pemain di Sukan Olimpik Tokyo 1964 serta tiga edisi Sukan Asia pada 1958, 1962 dan 1966 termasuk membantu Malaysia meraih pingat gangsa di Jakarta.

Sebagai jurulatih, mendiang pernah membimbing pasukan kebangsaan ke Sukan Olimpik Los Angeles 1984, mewakili Selangor sepanjang kariernya dan menerima Anugerah Jurulatih Kebangsaan Terbaik 1999.

Pemergian mendiang yang meninggalkan seorang isteri dan seorang anak perempuan itu turut dirasai KHM, memandangkan beliau juga pernah berkhidmat sebagai ahli jawatankuasa kejurulatihan dan pemilihan badan induk berkenaan.