JUARA dunia beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kandas di separuh akhir Sukan SEA sekali gus memberi bayangan, sasaran empat pingat emas dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semakin memudar.

Jika dua tahun lalu, barisan “mentah” dihantar ke Temasya Kemboja, sehingga prestasi pemain menjadi bahan perdebatan di dunia maya, apa bezanya kali ini.

Harapan BAM membersih reputasi temasya lalu nampaknya tidak selari dengan kesungguhan pemain. Selepas prestasi hambar pasukan lelaki di final Rabu lalu, kini Tang Jie-Ee Wei yang juga pasangan no.3 dunia mengalah straight set kepada pasangan tuan rumah, Ruttanapak Outphong-Jenicha Sudjaipraparat (13), 15-21, 16-21 dalam tempoh 44 minit.

Ironinya, ini adalah kekalahan pertama mereka setelah tiga kemenangan straight set sebelum ini.

Apakah Sukan SEA bukan keutamaan kepada pemain kerana mahu berehat awal untuk persiapan ke saingan Jelajah Dunia Akhir (WTF) yang jauh lebih berprestij dan menawarkan habuan mewah.

Bukanlah mempersoalkan semangat pemain namun reputasi mereka selayaknya berada di pentas akhir, namun yang nyata, satu lagi reputasi “golongan” Road to Gold (RTG) digores dengan kekalahan mudah.

Kekalahan mereka bagaimanapun tidak dituruti Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang berjaya membenam cabaran pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana 21-10, 21-12 dalam masa 33 minit.

Turut ke final, beregu wanita utama, Pearly Tan-M Thinaah yang berjaya mengatasi Rachel Allessya-Febi Setianingrum 2114, 19-21, 21-16 dan akan bertemu satu lagi pasangan Indonesia, Febriana Puji Kusuma-Meilysa Trias.