PEMAIN skuasy wanita negara, S. Sivasangari meneruskan rentak cemerlang apabila mara ke suku akhir kejohanan berprestij Terbuka British selepas menewaskan pilihan ketujuh kejohanan, Satomi Watanabe dari Jepun dalam perlawanan pantas di Teater Birmingham Repertory, awal pagi tadi.
Walaupun hadir sebagai pemain bukan pilihan, Sivasangari yang menghuni ranking kesembilan dunia membuktikan rekod cemerlangnya ke atas pemain Jepun itu, bukan satu kebetulan apabila mencatat kemenangan keenam berturut-turut ke atas Watanabe dalam Jelajah PSA, termasuk di separuh akhir Sukan Asia 2022.
Aksi mantap ditampilkan pemain berusia 26 tahun itu menyaksikan dia memenangi dua set awal dengan keputusan 11-9, 11-9 menerusi corak serangan agresif dan permainan yang tersusun dari awal permainan.
Watanabe cuba bangkit pada set ketiga dengan kemenangan 11-4, namun Sivasangari segera mengembalikan rentak permainan untuk menutup set keempat dengan kemenangan bergaya 11-4, sekali gus melangkah ke suku akhir buat kali pertama dalam sejarah penyertaannya di kejohanan ini.
“Saya rasa sangat gembira dapat ke suku akhir. Tahun lalu saya bertemu Nour El Sherbini di pusingan pertama, jadi undian kali ini jauh lebih baik. Satomi pemain yang hebat dan kami sudah bermain bersama sejak umur 10-11 tahun lagi. Dia juga sahabat baik saya,” kata Sivasangari kepada PSA selepas perlawanan.
Sivasangari dijadual bertemu pilihan keempat kejohanan, Amina Orfi dari Mesir pada aksi suku akhir. Orfi terdahulu mencatat kemenangan meyakinkan ke atas rakan senegaranya, Nada Abbas, dalam pertembungan ulangan Kejohanan Dunia PSA.
FOTO|PSA