SKUAD hoki dalam dewan lelaki negara berazam untuk menamatkan kempen Kejohanan Piala Dunia 2025 dengan meraih kedudukan yang lebih baik daripada tangga tercorot apabila berdepan Trinidad & Tobago dalam perlawanan penentuan tempat ke-11 dan ke-12 pada Ahad.

Jurulatih skuad negara, Mohd Rodzhanizam Mat Radzi, menegaskan bahawa pasukannya tidak datang ke kejohanan ini hanya untuk menghuni tangga terbawah.

Sebaliknya beliau mahu pemain-pemain memberikan segala yang terbaik dalam perlawanan menentang Trinidad & Tobago bagi memastikan mereka pulang dengan sekurang-kurangnya satu kemenangan.

“Kami datang ke kejohanan ini bukan untuk berada tangga terakhir. Jadi kami akan berusaha sebaik mungkin untuk menamatkan kejohanan di kedudukan ke-11.

“Saya percaya setiap pemain akan memberikan komitmen penuh dalam perlawanan menentang Trinidad & Tobago,” kata Rodzhanizam.

Malaysia dibelasah Argentina 2-6 dalam perlawanan penentuan kedudukan 9 hingga 12. FOTO : FIH / World Sport Pics

Sebelum ini, Malaysia tewas 2-6 kepada Argentina dalam aksi penentuan tempat kesembilan hingga ke-12.

Mengulas lanjut Rodzhanizam berkata, kegagalan memanfaatkan peluang yang terhidang menjadi punca utama kekalahan tersebut.

“Kami memiliki peluang menjaringkan gol tetapi tidak dapat memanfaatkannya dengan baik biarpun pemain menampilkan semangat juang tinggi.

“Ini adalah kelemahan utama perlawanan menentang Argentina. Keputusan mungkin berbeza jika penyudah lebih tajam,” katanya.

Walaupun berdepan cabaran yang sukar, Rodzhanizam tetap yakin dengan kemampuan anak buahnya untuk memberikan persembahan yang membanggakan.

Malah, beliau berharap pemain-pemain dapat belajar daripada kesilapan dan bangkit semula dalam perlawanan terakhir.

FOTO : FIH / World Sport Pics