INDIVIDU yang mempunyai pengetahuan teknikal berkaitan badminton, lebih sesuai menggantikan Michelle Chai sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Michelle yang melakukan tugas-tugas akhirnya sebagai CEO ABM berkata, pengetahuan teknikal dalam badminton amat penting untuk penggantinya menguruskan salah satu akademi badminton terbaik dunia.

Pada 9 Mei lalu, Michelle mengumumkan peletakkan jawatannya sebagai CEO atas dasar tanggungjawabnya selepas pasukan wanita negara dimalukan Filipina ketika tumpas di peringkat suku akhir Sukan Sea Kemboja 2023.

Pengetahuan teknikal berkaitan badminton penting buat CEO baharu Akademi Badminton Malaysia nanti, bagi membolehkan perkongsian dengan pengarah teknikal ABM lancar. -Michelle Chai, CEO ABM

“Dalam badminton, harapan diletakkan sentiasa tinggi. Sebagai seorang CEO, antara perkara yang saya rasa saya tidak dapat menyumbang adalah analisa teknikal.

“Saya ada jurulatih dan pengarah kejurulatihan tetapi ia akan menjadi lebih bagus jika CEO mempunyai pengetahuan badminton supaya dia boleh berbincang setaraf dengan pengarah kejurulatihan.

“Benar saya boleh menyumbang dari segi perbincangan yang asas, tetapi dari segi teknikal itu terbatas, jadi kalau CEO baru dapat membawa masuk aspek sebegini, ia akan menjadi satu tambah nilai,” kata Michelle, di ABM, Bukit Kiara.

CEO Akademi Badminton Malaysia, Michelle Chai menjadi tumpuan berikutan penggantinya belum ditemui.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kini giat mencari pengganti Michelle memandangkan dia bakal menamatkan perkhidmatannya bersama badan induk itu pada 6 Ogos depan.

Selain jawatan Michelle, BAM juga turut sedang mencari pengganti baru untuk jawatan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan yang ditinggalkan Wong Choong Hann serta Dr Tim Jones yang sebelum ini menyandang jawatan Pengarah Berprestasi Tinggi ABM.