JALAN-jalan sekitar Georgetown hidup dengan suasana hiruk pikuk apabila lebih 500 kanak-kanak bersama keluarga menyertai Larian Kidslympic Malaysia Pulau Pinang 2025, sebagai sebahagian daripada siri Jelajah Larian Kidslympic Malaysia peringkat kebangsaan menjelang temasya Kidslympic Malaysia di Kuala Lumpur bulan depan.
Edisi Pulau Pinang telah diserikan dengan kehadiran YB Tuan Steven Sim, Menteri Sumber Manusia, yang turut serta meraikan penganjuran acara sukan yang menggalakkan masa depan lebih sihat dan terlindung buat keluarga Malaysia. Kehadiran beliau mencerminkan komitmen kukuh Kerajaan Persekutuan terhadap pemerkasaan belia melalui sukan serta perlindungan sosial untuk keluarga.
“Sukan membentuk sahsiah, disiplin dan daya tahan. Pada masa yang sama, kita mesti memastikan anggota keluarga — khususnya suri rumah — dilindungi dan diperkasakan. Larian Kidslympic Malaysia Pulau Pinang 2025 menggabungkan kedua-dua nilai ini, menjadikan inisiatif ini amat dekat di hati saya,” kata YB Steven Sim.

Dari kiri, Ketua Pegawai Eksekutif Kidslympic Malaysia, Encik Lim Kien Wei; Puan Wahdania Mohd Khir, Ketua Juruaudit Dalaman Kumpulan AFFIN Bank Berhad; Menteri Sumber Manusia, YB Tuan Steven Sim; dan pengasas bersama Kidslympic Malaysia, Puan Goh Liu Ying dan Encik Wong Kang Woon bersama para pemenang.
Kemuncak larian di Pulau Pinang ialah kerjasama Kidslympic Malaysia bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi inisiatif Lindung Kasih, iaitu Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).
Program ini memastikan golongan suri rumah selaku tulang belakang sesebuah keluarga, diberikan akses kepada perlindungan sosial dan faedah yang meliputi kemalangan, kecacatan dan kehilangan nyawa. Buat pertama kali, inisiatif ini diintegrasikan dalam karnival sukan keluarga seperti Kidslympic dengan menekankan kepentingan melindungi masa depan anak-anak sambil menghargai pengorbanan ibu.
“Seperti mana kita meraikan kesihatan dan kecergasan anak-anak dalam Kidslympic, kita juga perlu menghormati dan melindungi golongan ibu yang berkorban setiap hari demi membina keluarga yang lebih kukuh. Lindung Kasih ialah cara kami memastikan negara tidak melupakan wira-wira tidak didendang ini,” kata atlet Olimpian, Goh Liu Ying, Pengasas Bersama Kidslympic dan Ahli Lembaga SKSSR PERKESO.

Acara Larian Kidslympic Malaysia Pulau Pinang 2025 dimulakan secara rasmi di Georgetown.
Inisiatif PERKESO dipamerkan di Pulau Pinang melalui reruai interaktif dan kaunter maklumat, membolehkan peserta dan anggota keluarga memahami proses pendaftaran, faedah dan impak jangka panjang.
Perlindungan ini meliputi wanita — sama ada berkahwin atau tidak — yang menguruskan rumah tangga secara sepenuh masa atau separuh masa, termasuk isteri, ibu, janda, balu atau ibu tunggal. Sumbangan sebanyak RM120 perlu dibayar terlebih dahulu, meliputi tempoh 12 bulan berturut-turut. Sumbangan ini boleh dibuat oleh suami, suri rumah itu sendiri, ahli keluarga atau mana-mana pihak ketiga.
Larian Kidslympic Malaysia ialah gagasan bertaraf kebangsaan untuk memupuk budaya sukan dari akar umbi. Larian ini memberi peluang kepada kanak-kanak berumur 4–12 tahun untuk merasai keseronokan berlari sambil mewujudkan semangat berpasukan dan persaingan sihat. Ahli keluarga peserta turut serta dalam pelbagai aktiviti menyeronokkan, permainan bersifat karnival dan bengkel kesihatan, menjadikan acara ini lebih daripada sekadar perlumbaan — ia adalah perayaan semangat kekeluargaan dan komuniti. A PROJECT BY X

Para peserta bergambar di garisan permulaan.
Edisi Pulau Pinang merupakan hentian ketiga dalam Jelajah Larian Kidslympic Malaysia 2025, selepas Kuala Lumpur dan Johor. Dengan tema “Dari Padang Permainan ke Podium”, larian ini menekankan kepentingan kesihatan, daya tahan dan perpaduan keluarga. Larian seterusnya akan berlangsung di Gamuda Gardens Experience Gallery pada Ahad, 28 September 2025.
Temasya Kidslympic Malaysia 2025, temasya pelbagai acara sukan khas untuk kanak-kanak, dijangka menghimpunkan lebih 1,500 atlet muda dari seluruh negara untuk bersaing dalam disiplin gaya Olimpik di Stadium PNB Merdeka Ventures pada 10–13 Oktober di Kuala Lumpur. Acara sukan yang dipertandingkan termasuk Olahraga, Renang, Bola Keranjang 3×3, Bola Tampar, Bola Sepak, Gimnastik dan Perlumbaan Halangan.