KELAB gergasi England, Chelsea FC bakal kembali ke Malaysia untuk aksi persahabatan pramusim menentang juara Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada 11 Ogos ini.
Perlawanan berprofil tinggi itu diumumkan oleh TEG Sport dan dijangka menjadi antara aksi bola sepak terbesar di Malaysia tahun ini apabila menemukan kelab elit Liga Perdana Inggeris dengan pasukan paling dominan di Asia Tenggara ketika ini.
Aksi yang dijadual bermula jam 8 malam itu turut menjadi sebahagian daripada persiapan pramusim Chelsea menjelang kempen 2026-27 selain memberi peluang buat JDT menguji kemampuan menentang lawan bertaraf Eropah di laman sendiri.

Chelsea hadir ke Malaysia selaku juara semasa Piala Dunia Kelab FIFA selain menjadi satu-satunya kelab yang pernah memenangi kesemua trofi utama bola sepak moden.
Kelab dari London itu juga bakal memulakan era baharu di bawah kendalian Xabi Alonso yang diumumkan sebagai pengurus baharu menjelang musim depan.
Sementara itu, JDT terus mengukuhkan reputasi sebagai kuasa besar bola sepak tempatan selepas menjulang 12 kejuaraan Liga Super berturut-turut selain mencipta kejayaan di pentas Asia menerusi kemenangan AFC Cup dan kempen konsisten dalam Liga Juara-Juara AFC.
Pengarah Operasi Bola Sepak Chelsea, Pete Nuttall berkata, pihaknya teruja untuk kembali beraksi di Malaysia buat kali pertama sejak tahun 2013 sambil menyifatkan rantau Asia Tenggara memiliki kelompok penyokong bola sepak yang cukup luar biasa.
Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia pula menyifatkan perlawanan tersebut sebagai satu pencapaian besar buat kelab selain mencerminkan peningkatan reputasi Harimau Selatan di pentas Asia.
Menurut beliau, Stadium Sultan Ibrahim bakal menjadi pentas kepada satu malam istimewa buat penyokong bola sepak tempatan selain berharap aksi itu membuka ruang kepada lebih banyak perlawanan antarabangsa berprofil tinggi di Johor pada masa depan.
Tiket perlawanan akan mula dijual kepada penyokong Chelsea dan JDT menerusi pra-jualan pada 21 Mei sebelum jualan umum dibuka sehari kemudian dengan harga bermula RM154 hingga RM1,254 bagi kategori VIP.