Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) bakal menganjurkan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi 2026 (SUKIPT) edisi ketujuh bermula 28 Ogos hingga 6 September depan di Universiti Malaya.

Penganjuran temasya sukan mahasiswa terbesar negara itu dijayakan menerusi kerjasama Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), Majlis Sukan Mahasiswa Universiti Swasta Malaysia (MASISWA), Majlis Sukan Politeknik Malaysia (MSP) dan Majlis Sukan Kolej Komuniti Malaysia (MASKOM).

Mengangkat tema “Mencipta Legasi Juara”, SUKIPT 2026 akan menjadi platform utama pembangunan atlet Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet pelapis negara.

Edisi kali ini dijangka menghimpunkan lebih 7,500 atlet daripada 65 kontinjen IPT di seluruh negara selain disertai kira-kira 2,000 pegawai dan 800 sukarelawan.

Sebanyak 30 jenis sukan akan dipertandingkan dengan tawaran 251 pingat emas melibatkan pelbagai acara termasuk badminton, bola sepak, hoki, renang, taekwondo, karate, silat, sepak takraw, ragbi tujuh sebelah, tenis, bola keranjang dan e-sukan.

KPT memaklumkan kepelbagaian acara dipertandingkan mencerminkan komitmen kementerian dalam memastikan lebih banyak institusi pendidikan berpeluang mengambil bahagian berdasarkan kekuatan masing-masing.

Selain sukan moden dan teras, temasya kali ini turut menampilkan beberapa acara tradisional sebagai usaha memperluaskan penyertaan atlet mahasiswa secara lebih inklusif.

Dalam usaha meningkatkan tahap persaingan, insentif khas sebanyak RM20,000 turut disediakan kepada atlet yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan sepanjang kejohanan berlangsung.

Penganjuran SUKIPT 2026 juga dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan KPT memperkukuh ekosistem sukan IPT yang lebih holistik, kompetitif dan berprestasi tinggi.

Menerusi temasya itu, KPT berharap lebih ramai atlet mahasiswa berpotensi dapat diketengahkan sekali gus mampu mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa pada masa depan.

Sumber Gambar: Bahagian Komunikasi Korporat Universiti Malaya