PEMAIN beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Lai Shevon Jemie meneruskan perjalanan mereka ke pusingan 16 selepas menumpaskan wakil Amerika Syarikat dalam Super 500 Perodua Malaysia Masters 2026.

Bekas juara beregu campuran Perodua Malaysia Masters 2024 itu kembali memburu kejuaraan lagi dengan semangat yang lebih kuat.

Soon Huat berkata mereka sudah mendapat rentak dan dapat mengawal perlawanan bagi memastikan mereka layak ke pusingan seterusnya.

“Kami hanya kekalkan rentak, kelajuan permainan dan mindset yang positif,” kata beliau ketika ditemu ramah selepas tamat perlawanan.

Shevon berbangga dengan permainan mereka sebentar tadi dan ingin mengekalkan rentak yang sama bagi perlawanan seterusnya.

“Saya rasa kami telah melakukan aksi yang agak baik walaupun keadaan gelanggang yang agak licin.

“Namun, kami masih berjaya menjaga rentak perlawanan tadi,” tambahnya.

Mereka berjaya menundukkan wakil Amerika Syarikat straight set dengan keputusan kemenangan 21-8, 21-16.

Selepas ini, mereka akan bertemu wakil dari Chinese Taipei yang menduduki ranking 37 dunia di pusingan 16 nanti dan mempunyai rekod tanpa kalah menentang pasangan tersebut.

Walaupun mereke mempunyai rekod yang baik, Soon Huat-Shevon tidak memandang rendah pihak lawan dan masih akan berhati-hati bagi perlawanan pusingan 16 nanti.