Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini berada di peringkat akhir dalam usaha memuktamadkan cadangan lanjutan kontrak penganjuran Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP).
Menterinya, Dr. Mohammed Taufiq Johari memaklumkan bahawa memorandum berkaitan perkara itu sedang dalam proses akhir sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
Menurut beliau, sebarang keputusan rasmi hanya akan diumumkan selepas mendapat kelulusan Kabinet.

Menteri Belia & Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari
Kontrak semasa Malaysia sebagai tuan rumah MotoGP dijadual berakhir tahun ini, sekali gus menjadikan perbincangan lanjutan itu penting bagi memastikan kesinambungan penganjuran acara berprestij tersebut.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Sukan MotoGP, Carlos Ezpeleta mengesahkan Malaysia hampir mencapai persetujuan bagi kontrak baharu.
Perjanjian tersebut difahamkan melibatkan tempoh lanjutan selama lima tahun, namun masih tertakluk kepada kelulusan akhir Kabinet memandangkan ia membabitkan pelaburan besar kerajaan.
Perkembangan ini dilihat sebagai petanda positif dalam memastikan Malaysia terus kekal sebagai antara destinasi penting dalam kalendar perlumbaan MotoGP dunia.
Sumber Gambar: FB SIC