MENGEJUTKAN, pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih pasukan secara serta merta, pada Rabu.

Bagaimanapun, kelab Gergasi Merah itu dan Tan Cheng Hoe sendiri telah mencapai kata sepakat untuk berpisah dan penamatan kontrak beliau telah dikuat kuasa.

Pihak Selangor FC sendiri telah mengumumkan pemergian Cheng Hoe itu menerusi kenyataan yang dimuat naik ke laman rasmi Selangor FC.

“Selangor FC dan Tan Cheng Hoe telah mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kontrak beliau berkuat kuasa secara serta-merta. Kelab telah dimaklumkan berkenaan keputusan Tan Cheng Hoe untuk meninggalkan Selangor FC bagi menggalas tugas sebagai ketua jurulatih di sebuah kelab di Thailand.

 

Kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Selangor FC.

“Selangor FC juga telah menerima bayaran pampasan berdasarkan kontrak beliau.

“Sejak dilantik pada September 2022, Tan Cheng Hoe telah membantu Selangor FC menjadi Naib Juara Piala Malaysia 2022 dan Liga Super Malaysia 2023, sekaligus memastikan Selangor FC layak secara automatik ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) untuk musim 2024/2025,” menurut kenyataan yang dikeluarkan.

Pihak Selangor FC turut berkongsi bahawa Nidzam Jamil kini dilantik sebagai ketua jurulatih sementara (interim) dan pada yang sama, pihak pengurusan akan menjalankan proses pemilihan dengan lebih terperinci untuk mencari pengganti Cheng Hoe.