JURULATIH Selangor FC, Tan Cheng Hoe, telah mengumumkan keputusannya untuk meletak jawatan sebagai pengendali kelab itu serta-merta pada Rabu. Keputusan mengejutkan ini hadir hanya 19 bulan selepas dilantik mengemudi pasukan Lembah Klang tersebut pada September 2022.

Cheng Hoe, 55, yang sebelum ini memegang jawatan sebagai jurulatih utama skuad kebangsaan Harimau Malaya, memberikan alasan yang tidak dijangka untuk keputusannya.

Tanpa berselindung, dia berterima kasih kepada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, kerana memberi peluang kepadanya untuk berkhidmat dengan pasukan tersebut.

“Tentulah, terima kasih kepada RMS (Raja Muda Selangor) menjadi satu penghormatan besar untuk saya bergelar jurulatih bagi sebuah kelab besar seperti Selangor, yang merupakan sebuah kelab gergasi dalam dunia bola sepak Malaysia.

Cheng Hoe dan ucap terima kasih buat RMS selepas rasmi meninggalkan Selangor FC.

“RMS telah berusaha sebaik mungkin untuk pasukan, dan segala yang pernah dilakukannya untuk pasukan adalah yang terbaik. Semua momen yang baik adalah pengalaman yang diberikan penghormatan sepenuhnya oleh pengurusan dan kepada peminat,” katanya kepada FLASH SUKAN pada Rabu.

Terdahulu, pihak kelab telah dimaklumkan tentang keputusan Cheng Hoe untuk meninggalkan Selangor FC bagi mengambil tugas sebagai ketua jurulatih di sebuah kelab di Thailand.

Cheng Hoe yang membimbing Selangor sehingga layak ke Liga Juara-Juara AFC 2 2024/25 juga menambah bahawa dirinya meninggalkan jawatan ini dengan rasa bangga dan puas hati, dan berharap agar pasukan Selangor terus maju ke hadapan dengan pencapaian cemerlang.

Keputusannya meletak jawatan ini telah mengejutkan ramai peminat bola sepak tempatan, terutamanya kerana dianggap sebagai salah seorang jurulatih yang berpengalaman dan berjaya dalam dunia bola sepak Malaysia.

Cheng Hoe telah memberi kejayaan buat Selangor, antaranya melayakkan diri ke ACL2 musim ini.

Namun, beliau yakin bahawa keputusan ini adalah yang terbaik bagi masa depannya dan pasukan Selangor.

“Sebagai jurulatih profesional, kadangkala anda perlu membuat keputusan yang sukar untuk pengalaman dan pengembaraan baharu. Keputusan untuk berundur sebagai jurulatih Selangor mungkin sebahagian daripada perjalanan untuk cabaran dan pertumbuhan baharu.

“Adalah penting bagi jurulatih untuk mencari peluang baharu untuk terus mengembangkan kemahiran dan pengetahuan mereka dalam permainan,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN : Cheng Hoe berpisah dengan Selangor FC serta-merta, kendalikan kelab Liga Thai

Pada musim 2022, Cheng Hoe hampir menghadiahkan trofi Piala Malaysia kepada Selangor sebelum kecundang di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) di final dengan skor 1-2.

Sehingga kini belum ada kenyataan rasmi mengenai kelab mana yang akan dibimbing oleh Cheng Hoe di Thailand. Namun, spekulasi dan minat terhadap langkah selanjutnya dalam kerjaya kejurulatihan tetap menjadi tumpuan ramai peminat bola sepak.