BERITA baik buat penyokong-penyokong bola sepak yang mahu menyaksikan skuad kebangsaan atau kelab kesayangan masing-masing beraksi dalam pertandingan bola sepak di bawah payung jenama Asean United FC apabila AirAsia bercadang untuk mewujudkan tambang diskaun istimewa.

Bukan itu sahaja, AirAsia juga merancang untuk menawarkan pakej-pakej tertentu buat para penyokong yang melibatkan penginapan serta pergerakan ke stadium, bagi menyaksikan perlawanan pilihan masing-masing.

Diskaun dan pakej yang dicadangkan itu akan ditawarkan kepada penyokong yang menyaksikan Piala Asean Mitsubishi Electric, Kejohanan Kelab Asean Piala Shopee, Kejohanan B-23 Asean dan Kejohanan Wanita Asean – empat pertandingan utama anjuran Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF).

Berita baik ini dikongsikan ketika syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia itu mengumumkan secara rasmi kerjasama antara AFF dan SportFive di ibu pejabatnya, RedQ Sepang pada Isnin.

“Kami berharap untuk memberikan para penyokong sejenis pakej atau diskaun tiket penerbangan untuk mereka pergi menyaksikan pasukan atau kelab kesayangan mereka beraksi di tempat lawan,” kata Rudy Khaw, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Brand Co.

Pada masa yang sama, AirAsia turut dinobatkan sebagai Rakan Pengembaraan Rasmi ASEAN United FC dan kerjasama ini diharap dapat menguatkan lagi peranannya sebagai daya penyatuan merentasi dan melewati rantau ini, memupuk pertalian yang lebih mendalam kalangan penyokong bola sepak dan komuniti sukan.

Saingan Piala Asean Mitsubishi Electric  yang membabitkan 10 pasukan iaitu Malaysia, Thailand, Singapura, Kemboja, Timor Leste, Vietnam, Indonesia, Filipina, Myanmar dan Laos akan membuka tirainya pada 8 Disember 2024 hingga 5 Januari 2025.

Sementara itu, saingan Piala Shopee yang melibatkan kelab-kelab terbaik dari rantau Asean termasuk Terengganu FC dan Kuala Lumpur City FC sedang berlangsung dengan melibatkan lima perlawanan bagi setiap kelab.