KELAB Thai League 2, Chonburi FC, secara rasmi menamatkan perjanjian pinjaman pemain dengan penyerang berusia 21 tahun negara,Fergus Tierney.

Tierney, yang menyertai Chonburi pada musim ini secara pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT), tidak lagi termasuk dalam perancangan kelab untuk separuh kedua musim 2024/25.

Lapor media Thai, SNE Sports Co, sejak tiba di Chonburi, Tierney membuat 13 penampilan, dengan jumlah keseluruhan 613 minit permainan dan menjaringkan satu gol.

Tierney bakal kembali ke JDT. FOTO KREDIT : Chonburi FC

Walaupun menyumbang dalam beberapa perlawanan, kelab itu memutuskan untuk menamatkan kontraknya lebih awal, menandakan perubahan strategi menjelang pusingan kedua musim ini.

Selain Tierney, Chonburi FC turut mengumumkan penamatan kontrak Charlie Clough, seorang pemain pertahanan dari England yang dipinjam dari Port FC.

Tindakan ini menunjukkan kelab tersebut sedang merombak skuad mereka, berkemungkinan untuk memberi ruang kepada pemain baharu atau menyesuaikan diri dengan objektif prestasi mereka.

Dengan penamatan awal pinjamannya di Chonburi FC, Tierney dijangka kembali ke Johor Darul Ta’zim. Namun, masih menjadi tanda tanya sama ada dia akan kembali diserap ke dalam skuad JDT atau mencari peluang lain bagi mendapatkan lebih banyak pengalaman permainan di peringkat utama.