SKUAD badminton negara mengintai sekurang-kurangnya dua pingat emas di Sukan SEA Thailand Disember ini, satu sasaran yang dianggap realistik berdasarkan prestasi semasa barisan pemain.
Tumpuan utama terarah kepada gandingan beregu campuran juara dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan beregu wanita handal, Pearly Tan-M Thinaah yang kini berada pada prestasi lebih konsisten.
“Kalau dua pasangan utama ini berada di tahap terbaik, peluang untuk bawa pulang emas memang cerah walaupun kita tahu saingan dari Thailand dan Indonesia bukan calang-calang,” katanya.

Beliau menegaskan dua emas dianggap minimum, manakala peluang untuk menambah satu lagi bergantung kepada rentak semasa pemain ketika temasya berlangsung.
“Kalau rezeki memihak kepada kita, tak mustahil tiga emas boleh diraih, tapi yang pasti dua emas itu mesti jadi milik Malaysia,” katanya, penuh keyakinan.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan kejayaan itu bergantung kepada tahap fizikal pemain memandangkan mereka bakal beraksi dalam jadual padat menjelang Jelajah Dunia Akhir selepas temasya berkenaan.
“Kalau dah komited mahu berjuang di Sukan SEA, semua pemain kena turun dengan semangat juang penuh dan saya pastikan jurulatih serta pemain duduk semeja tetapkan fokus,” tegasnya.