PENGURUS Besar dan Pengarah Perak FC, Neow Choo Seong, dengan berat hati mengumumkan pengunduran dirinya daripada pasukan bola sepak negeri itu, berkuat kuasa 1 Januari 2025.

Pengumuman tersebut dibuat menerusi satu kenyataan di laman Facebook rasminya, di mana beliau turut meluahkan penghargaan terhadap perjalanan penuh bermakna bersama pasukan sejak menyertai mereka pada 2023.

Menurut Neow, fokus utama sepanjang tempoh perkhidmatannya adalah terhadap pembangunan bakat muda di peringkat akar umbi, yang beliau anggap sebagai tunjang kepada masa depan bola sepak Perak.

Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan, termasuk program seperti District Training Centres (DTC), Grassroots Playday Festival, Piala Cheetah, dan Piala XOX. Program-program ini bukan sahaja membuka peluang kepada pemain muda di seluruh negeri, tetapi juga menjadi platform bagi mencungkil bakat-bakat baru yang berpotensi.

“Walaupun rata-rata pemain di Akademi Bola Sepak Perak FC sebelum ini tidak mempunyai asas yang tinggi, mereka telah menunjukkan peningkatan luar biasa, sehingga berjaya menjuarai kategori Plate dalam Perlawanan Jemputan Antarabangsa B-12 Tahun baru-baru ini.

“Ini adalah bukti dedikasi jurulatih seperti Coach Raja Azlan dan pengorbanan para pemain sendiri,” kata Neow, memuji usaha gigih pasukan kejurulatihan dan pemain muda.

Bagaimanapun, tugas berat mengendalikan pasukan utama selepas ketiadaan bekas CEO pada Oktober 2024 memberi peluang kepada Neow untuk lebih memahami cabaran bola sepak tempatan.

Dalam kenyataannya, beliau menzahirkan harapan agar bakat-bakat muda seperti Daniel Hakimi, Moses Raj, Arifin, dan Haikal terus diberi peluang oleh pengurusan pasukan.

Neow juga menyatakan bahawa walaupun tidak lagi bersama Perak FC, beliau akan terus menyokong pasukan dari sisi penyokong, menonton perlawanan dengan lebih tenang dan tetap menjadi sebahagian daripada perjuangan bola sepak Perak.

“Teruskan menyokong pasukan kita demi maruah dan martabat bola sepak negeri Perak,” ujar Neow dalam kenyataannya, yang turut disertai rasa optimis terhadap masa depan bola sepak negeri itu.

Pengunduran Neow menandakan berakhirnya satu era penting bagi Perak FC, namun warisan pembangunan akar umbinya pasti akan menjadi asas kukuh bagi kejayaan pasukan di masa depan.

Pada 31 Julai lalu, CEO Perak FC, Bobie Farid Shamsudin membuat kenyataan mengejutkan apabila mengumumkan peletakan jawatannya.

Pengumuman tersebut dibuat menerusi Facebook peribadinya, Ariesham yang turut meluahkan kekecewaan terhadap sukan bola sepak.