TAHUN 2024 menjadi lembaran penuh emosi buat atlet wushu negara, Tan Cheong Min, yang mengharungi cabaran besar dalam misi mengibarkan Jalur Gemilang di pentas antarabangsa.
Walaupun diuji dengan keracunan makanan sewaktu bertanding di Kejohanan Wushu Asia di Macau, Cheong Min tetap bangkit mempersembahkan aksi cemerlang untuk membawa pulang satu pingat emas dan dua perak.
“Pertandingan di Macau adalah pengalaman paling tidak dapat saya lupakan tahun ini kerana ini kali pertama saya mewakili Malaysia untuk Kejohanan Wushu Asia, tetapi saya diuji dengan kondisi kesihatan yang mencabar.
“Berkat kerja keras dan kekuatan mental yang saya bina selama ini, saya berjaya menamatkan cabaran dengan pencapaian yang membanggakan,” kata Cheong Min ketika ditemui di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), pada Isnin.

Tan Cheong Min menerima insentif RM700 pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan dan Penghargaan Atlet UPM 2024.
Perjalanan tahun ini juga membawa makna tersendiri buat Cheong Min yang kini merupakan pelajar program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Kejayaannya di Kejohanan Wushu Asian University di Harbin, China, turut diraikan apabila dia menerima insentif RM700 pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan dan Penghargaan Atlet UPM 2024.
“Saya sangat gembira dan bangga menjadi pelajar UPM, ini kali pertama saya menerima insentif seperti ini dan ia memberikan motivasi tambahan kepada saya untuk terus cemerlang,” katanya lagi.
Walaupun menganggap misinya untuk tahun ini telah selesai, Cheong Min tidak mahu berhenti di sini kerana fokusnya kini tertumpu kepada Sukan SEA dan Kejohanan Dunia pada tahun hadapan.

Sekitar Majlis Apresiasi Kecemerlangan dan Penghargaan Atlet UPM 2024.
Justeru, dia mengakui cabaran usia mungkin menghalangnya daripada beraksi di temasya universiti, tetapi itu tidak memadamkan semangatnya untuk terus mengharumkan nama negara.
“Untuk tahun depan, saya akan bekerja keras menghadapi Sukan SEA dan Kejohanan Dunia. Saya percaya akan ada kem latihan, tetapi tarikhnya masih belum diputuskan lagi,” jelasnya.
Ketabahan dan keazaman Tan Cheong Min adalah contoh terbaik semangat seorang atlet yang tidak mudah menyerah walau dihambat dugaan.
Dengan kejayaan yang diraih dan impian yang masih membara, beliau terus menjadi inspirasi kepada generasi muda dalam arena sukan negara.