PENGENDALI Harimau Malaya, Peter Cklamovski menegaskan bahawa undian sukar dalam Kumpulan B CAFA Nations Cup 2025 bukan alasan untuk gentar, sebaliknya dianggap peluang berharga untuk mengukur tahap sebenar skuad negara – khususnya berdepan gergasi Asia, Iran.
Malaysia bakal berdepan laluan mencabar dalam kejohanan tersebut yang berlangsung di Hisor, Tajikistan, apabila diundi bersama pasukan tuan rumah, Afghanistan dan Iran — yang ketika ini menghuni ranking ke-18 dunia dan sudah menempah tiket ke Piala Dunia 2026.
“Sudah tentu mereka pasukan yang berada dalam ranking tinggi, saya rasa tangga ke-18 dunia. Mereka juga akan ke Piala Dunia. Ia satu cabaran besar buat kami, dan juga satu peluang yang besar,” kata Cklamovski yang dilihat tenang dan realistik dengan cabaran yang menanti.
Iran kini hanya dibezakan tiga anak tangga dengan pasukan nombor satu Asia, Jepun, menjadikan aksi menentang mereka ibarat pentas terbaik buat Harimau Malaya menguji ketahanan fizikal dan taktikal dalam suasana kompetitif sebenar.
Skuad negara akan memulakan kempen Kumpulan B dengan menentang Tajikistan pada 29 Ogos, sebelum membuat perhitungan bersejarah menentang Iran pada 1 September, diikuti aksi terakhir menentang Afghanistan pada 4 September.
Walaupun ramai melihat Iran sebagai pilihan utama, pendekatan positif Cklamovski memberi bayangan bahawa Malaysia tidak akan sekadar menjadi pelengkap jadual, sebaliknya akan turun dengan semangat untuk memberi tentangan habis-habisan di pentas Asia Tengah.