Pelumba muda negara, Muhammad Hakim Danish Ramli tidak mahu sekadar jadi pelengkap saingan apabila beraksi dalam dua kejohanan berprestij — FIM JuniorGP dan Red Bull MotoGP Rookies Cup 2025 — musim ini.
Walaupun baru berusia 17 tahun, anak muda kelahiran Malaysia itu kini giat menjalani latihan intensif di Sepanyol sejak Mei lalu dalam usaha memperkemas persiapan menghadapi cabaran besar sebagai satu-satunya wakil negara di dua pentas elit dunia tersebut.
Buat masa ini, Hakim Danish menghuni tangga keempat keseluruhan dalam carta FIM JuniorGP dengan kutipan 38 mata, hanya 37 mata di belakang pendahulu dari Sepanyol, Brian Uriarte. Namun jurang itu langsung tidak melemahkan semangat juangnya.
“Saya kena terus baiki tunggangan dan cari setting terbaik. Minggu ini penting, harap semuanya lancar,” ujar Hakim Danish yang sudah mula menunjukkan kematangan dalam aspek teknikal dan taktikal.
Sebagai sebahagian daripada persiapan Pusingan 3 minggu ini, pelumba berbakat ini turut menjalani ujian tertutup bersama pasukannya di Litar Magny-Cours, Perancis dua minggu lalu — litar yang disifatkannya teknikal dan mencabar.
Turut mencuri tumpuan, kehadiran rakan senegara Qabil Irfan Azlan yang berlatih bersama dan bersaing dalam Kejohanan Superbike Sepanyol (ESBK), sekaligus menambah semangat Hakim di rantau Eropah.
Dengan disiplin tinggi dan fokus jelas, Hakim Danish kini berada di landasan tepat untuk mencipta sejarah baharu buat Malaysia dalam arena sukan permotoran antarabangsa.