BEKAS pemenang Liga Kemboja 2019 bersama skuad Svay Rieng FC, Conor Nestor disahkan sebagai pembantu jurulatih Selangor FC untuk menghadapi musim baharu Liga Malaysia dan Liga Juara-Juara AFC 2 2024-25.
Kelibat jurulatih kelahiran Limmerick, Ireland itu dapat dilihat ketika aksi Selangor Asia Challenge (SAC) 2024 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya yang menyaksikan Gergasi Merah menewaskan Brunei DPMM FC 4-0.
Perkara ini disahkan sendiri oleh pengendali Selangor FC, Nidzam Jamil ketika sesi sidang media dan dia nyata gembira dapat bekerjasama dengan teman lamanya untuk menghadapi musim baharu yang sangat mencabar.

Conor Nestor menjadi salah seorang pembantu jurulatih Selangor FC musim 2024-25
“Conor adalah teman lama saya dan kami berkenalan ketika saya bersama Felda United dan dia menjadi pengendali Svay Rieng FC ketika menjalani pramusim di sini dan kami sering berhubung menerusi media sosial.
“Saya ada peluang untuk bawa seorang pembantu untuk beri bantuan ketika latihan pasukan utama dan bukan Conor sahaja tetapi semua barisan kejurulatihan saya boleh katakan sudah berikan komitmen yang cukup baik kerana musim ini akan menjadi musim yang sangat mencabar,” katanya.
Conor mempunyai rekod yang cemerlang di Kemboja dan dipancing pasukan Liga Super India, Hyderabad FC sebagai pembantu jurulatih pada musim 2023 dan dia mempunyai pengalaman mengendali pasukan di Piala AFC pada musim 2020 sebelum pertandingan itu dibatalkan ekoran penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia.

Conor mempunyai pengalaman di peringkat Piala AFC
Gandingan Nidzam – Conor dilihat berjaya memberikan satu aksi meyakinkan buat Gergasi Merah apabila Noor Al Rawabdeh dan Alvin Fortes masing-masing berjaya menjaringkan dua gol untuk memberikan kemenangan di hadapan penyokong sendiri.