PEMAIN UiTM United, Zikry Mohd Hafis tidak dapat menyembunyikan rasa bangga dan gembira apabila terpilih sebagai salah seorang peserta ‘Dare to Dream’ untuk merasai pengalaman latihan bersama kelab Wolverhampton Wanderers di England.

Zikry dan 11 lagi peserta Dare to Dream yang dianjurkan Amateur Football League (AFL) dengan kerjasama MBSB Bank berlepas ke Wolverhampton dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang pada Ahad untuk mengikuti kem latihan selama 10 hari.

Dia menyatakan mahu menggunakan kesempatan ini untuk belajar lebih banyak mengenai teknik dan corak permainan bola sepak dari kelab yang beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL) selain menjadi nilai tambah buat diri dalam kariernya sebagai pemain bola sepak.

“Syukur sebab terpilih dalam program ini dan apa yang saya impikan telah tercapai untuk jejakkan kaki ke England dan harap dapat membawa pulang pengalaman baharu kerana kita tahu bola sepak di sana lebih kompetitif.

“Saya mahu tengok bagaimana ‘game play’ mereka kerana perkara ini adalah satu perkara yang menarik hingga berjaya menghasilkan gol, jadi saya mahu lebih belajar tentang perkara ini,” katanya.

Pemain berusia 21 tahun ini juga akan kekal bersama UiTM United musim ini dan dia mahu menjadikan pemain JDT, Shio Hong Wan sebagai contoh terbaik sebagai produk yang dilahirkan akademi Wolverhampton Wanderers.

Antara 12 pemain Liga MBSB Bank Championship yang berlepas ke Wolverhampton dari KLIA pada Ahad

“Hong Wan menunjukkan perbezaan apabila beraksi di Liga Malaysia. Kita boleh lihat perbezaan dari sudut teknikal dan ini dipelajarinya di akademi Wolverhampton sekali gus menjadi contoh terbaik buat kami untuk turut sama merasai pengalaman ini.

Juara Piala Al Ikhsan 2023 itu juga hanya mahu fokus kepada kariernya terlebih dahulu di Liga MBSB Bank Championship serta pembelajarannya sebelum memikirkan tentang peluang untuk mewakili skuad kebangsaan namun tidak menolak kemungkinan pada masa akan datang.