KETUA jurulatih Johor Darul Ta’zim, Xisco Munoz menyifatkan musim Liga Super 2025/2026 sebagai antara kempen terbaik pernah dilalui skuad Harimau Selatan selepas berjaya menamatkan saingan dengan rekod luar biasa tanpa kalah.
JDT menutup tirai liga dengan kemenangan besar 14-1 ke atas Kelantan The Real Warriors di Stadium Sultan Ibrahim sekali gus menyamai rekod dunia 108 perlawanan liga tanpa tewas.
Menurut Munoz, pencapaian itu bukan sekadar mengenai jumlah jaringan atau keputusan besar, sebaliknya lebih kepada mentaliti dan semangat juang yang dipamerkan pemain sepanjang musim.
Beliau berkata skuad kendaliannya terus menunjukkan intensiti tinggi sehingga wisel penamat dan perkara itu menjadi elemen penting dalam memastikan prestasi pasukan kekal konsisten.
Munoz turut menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang disifatkan sebagai faktor utama di sebalik kejayaan berterusan kelab tersebut.
Katanya, baginda sentiasa memainkan peranan penting dalam membantu pasukan menghadapi cabaran selain memberikan hala tuju jelas kepada pembangunan kelab.
Dalam masa sama, pengendali dari Sepanyol itu turut memuji aksi pemain tengah muda, Nathaniel Shio Hong Wan yang kembali mempamerkan persembahan cemerlang selepas pulih daripada kecederaan.
Beliau juga menyifatkan ketajaman penyerang utama, Bergson Da Silva sebagai antara kekuatan terbesar pasukan musim ini selepas penyerang Brazil itu meledak enam gol dalam aksi terakhir liga.
Kemenangan besar tersebut menyaksikan JDT mengakhiri kempen domestik dengan penuh bergaya selain terus memperkukuhkan dominasi mereka dalam saingan bola sepak tempatan.
Lebih membanggakan, rekod 108 perlawanan tanpa kalah itu menyamai pencapaian kelab Ivory Coast, ASEC Mimosas yang pernah mencipta rekod sama antara tahun 1989 hingga 1994.
JDT kini berpeluang memecahkan rekod dunia tersebut musim depan sekiranya berjaya mengelak kekalahan dalam aksi pembukaan Liga Super nanti.