BERMULA dari menumpaskan lawan di gelanggang karate, kini Shree Sharmini Segeran tampil gagah dalam uniform biru, membuktikan semangat juang seorang atlet yang tidak pernah padam meskipun berbeza medan perjuangan.
Anak jati Kulim, Kedah berusia 33 tahun itu sebelum ini berkhidmat sebagai konstabel dan kini berjaya menamatkan latihan mencabar selama sembilan bulan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur sebagai Inspektor Percubaan.
Sebagai bekas karateka negara, Sharmini mengakui setiap detik latihan di PULAPOL mengingatkannya kepada perjuangan di gelanggang, ketika dirinya perlu kekal fokus dan tidak mudah menyerah.
“Sebagai bekas atlet, saya dah biasa dengan latihan keras dan disiplin, dan setiap kali rasa nak putus asa, saya teringat masa lawan dulu, saya mesti habiskan sampai hujung,” katanya.

Menurutnya, cabaran paling besar bukan lagi pada fizikal, tetapi dalam membina keyakinan untuk memimpin selepas sekian lama berperanan sebagai pengikut.
“Dulu saya ikut arahan, sekarang saya belajar memimpin, dan itu perbezaan besar yang paling menguji diri saya,” katanya lagi.
Sharmini turut menzahirkan penghargaan kepada pegawai atasan yang sentiasa memahami perjuangannya dan memberi pelepasan penuh ketika beliau mewakili negara dalam sukan karate.
Bagi Sharmini, kejayaan bergelar pegawai polis bukan sekadar satu anugerah, tetapi simbol semangat juang seorang wanita Malaysia yang terus melangkah dengan keberanian, sama ada di gelanggang mahupun dalam khidmat kepada negara.