KETUA jurulatih skuad bola sepak wanita B-17 negara, Leila Chua, menzahirkan rasa bangga terhadap semangat juang anak buahnya selepas menundukkan Tajikistan dalam aksi pembukaan Kumpulan A Kelayakan Piala Asia Wanita B-17 2026 di Dushanbe, malam tadi.
“Kami sangat gembira dengan kemenangan ini. Seperti yang saya katakan sebelum ini, menentang pasukan tuan rumah bukan mudah kerana mereka sangat agresif. Tapi saya bangga dengan pemain-pemain yang terus berjuang hingga ke akhir,” katanya sambil menegaskan skuadnya perlu kekal merendah diri.
“Kami sudah dapat tiga mata, tapi ini baru permulaan. Esok kami akan fokus kepada pemulihan dan persediaan untuk perlawanan seterusnya.”
Pemain terbaik perlawanan, Laila Syamila, pula mengakui kemenangan itu memberi suntikan motivasi besar buat pasukan. “Saya sangat bangga dengan pasukan kerana berjaya menewaskan Tajikistan. Bermain di tempat mereka bukan mudah, apatah lagi dengan cuaca yang sejuk. Pada awalnya agak gementar, tapi kami terus mencuba dan akhirnya berjaya menjaringkan dua gol,” katanya.
Tambahnya lagi, semangat juang tinggi dan mesej jurulatih menjadi dorongan utama mereka. “Jurulatih pesan supaya kami buat yang terbaik sampai wisel penamat. Alhamdulillah, kami buktikan semangat itu di atas padang.”
Skuad bola sepak wanita B-17 negara memulakan kempen Kelayakan Piala Asia Wanita B-17 2026 dengan langkah kanan apabila menewaskan tuan rumah, Tajikistan 2-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan A di Stadium Central, Dushanbe, malam tadi.
Aksi penuh semangat anak buah Leila Chua itu menyaksikan penyerang prolifik, Laila Syamila membuka tirai jaringan seawal minit ke-15, sebelum Dishanna Pillay menambah gol kedua pada minit ke-85 untuk memastikan tiga mata penuh milik Malaysia.
Pasukan wanita B-17 negara akan menentang Syria pada Rabu jam 5 petang waktu Malaysia bagi aksi kedua kumpulan A dalam kempen kelayakan.