PEMAIN pertahanan Penang FC, Adib Ra’op mengakui mempunyai perasaan bercampur baur apabila mengetahui namanya diletakkan dalam senarai 26 pemain buat pertama kali untuk kem latihan pusat skuad kebangsaan bagi menghadapi baki dua perlawanan Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Adib juga sedar bukan mudah untuk menghadapi corak latihan berintensiti tinggi yang diamalkan ketua jurulatih, Kim Pan-gon namun bersedia untuk mengadaptasi secepat mungkin bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama.
“Masa saya dapat tahu berita saya dipilih, saya rasa gembira tetapi pada masa yang sama gemuruh kerana nak bersama nama-nama besar menjalani latihan dengan skuad kebangsaaan.

Bakat Adib sudah diperhatikan Kim Pan-gon sejak tahun lalu
“Namun saya akan jadikan ini sebagai pengalaman terbaik buat saya untuk mematangkan permainan dan tidak sabar untuk belajar daripada pemain senior seperti Corbin Ong dan Daniel Ting.
“Saya juga perlu mengadaptasi dengan cepat corak latihan intensiti tinggi Kim Pan-gon dan saya pun sudah mendapatkan nasihat daripada rakan sepasukan lain di Penang FC iaitu Syamer Kutty dan Sikh Izhan tentang keadaan kem latihan,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN.
Pan-gon juga menyatakan sebab dia serta barisan kejurulatihannya memilih Adib dan dia tidak menolak kemungkinan pemain ini mungkin boleh menggantikan tempat beberapa pemain yang tersisih akibat kecederaan dalam dua perlawanan penting ini.

Adib sedia hadapi latihan intensiti tinggi
“Kami sudah memantau Adib sejak tahun lalu dan dia boleh bermain sebagai pemain sayap atau pemain pertahanan selain dia juga mempunyai corak permainan yang menarik.
“Barisan kejurulatihan suka dengan kepantasan, kekuatan dan sikap agresif yang ada padanya selain dia menepati corak permainan untuk membantu bahagian serangan,” kata Pan-gon pada hari pertama kem latihan pusat skuad Harimau Malaya.
Skuad kebangsaan kali ini dilihat sedikit tempang pada bahagian hadapan apabila empat pemain – Syafiq Ahmad, Darren Lok, Arif Aiman dan Faisal Halim terpaksa diketepikan ekoran masalah kecederaan sekaligus memberikan sedikit kesan menjelang aksi bertemu Republik Kyrgyz di Bishkek dan Chinese Taipei di Bukit Jalil bulan hadapan.