MENTERI Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh menegaskan bahawa keputusan Selangor sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) untuk tidak menyenaraikan Silambam sebagai acara rasmi bukanlah satu isu perkauman, sebaliknya satu keputusan berasaskan keutamaan negeri dalam memilih sukan pilihan masing-masing.

Katanya, tradisi membenarkan negeri penganjur menentukan sukan pilihan bukan sesuatu yang baharu, malah ia telah diamalkan sejak dahulu lagi. “Ini bukan isu kaum. Setiap negeri penganjur bebas memilih sukan yang mereka rasa penting. Kita perlu adil dan tidak memainkan sentimen perkauman dalam sukan,” katanya selepas Majlis Pecah Tanah The Olympic House di KL Sport City, Kuala Lumpur.

Beliau turut memaklumkan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang mempertimbangkan untuk menganjurkan temasya khas bagi sukan yang tidak disenaraikan dalam Sukma seperti Silambam, Muay Thai dan Petanque. Katanya, sukan tempur tetap akan terus diberikan sokongan melalui pentas antarabangsa dan fasiliti khas seperti Axiata Arena.

Sementara itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang turut hadir menyokong kenyataan tersebut dengan menjelaskan bahawa keputusan Selangor dibuat secara kolektif selepas mengambil kira kemampuan dan strategi pembangunan sukan negeri itu. “Selangor belanja duit, jadi mereka berhak buat keputusan. Kita semua colourblind dalam sukan. Bukan satu dua sukan sahaja yang diketepikan, banyak sukan lain pun tidak tersenarai,” katanya.

Tambahnya, dengan lebih 100 jenis sukan dalam radar, pihak penganjur perlu memilih mengikut kemampuan logistik dan prospek kejayaan. Beliau turut mendedahkan bahawa selepas Kelantan menjadi tuan rumah Sukma seterusnya, cadangan sedang dibincangkan untuk menjadikan Putrajaya atau MSN sebagai hos kekal temasya tersebut demi konsistensi dalam pembangunan atlet negara.

Dalam masa yang sama, KBS memberi jaminan bahawa Silambam dan sukan-sukan warisan lain tetap akan terus dibantu melalui pelbagai saluran lain meskipun tidak dipertandingkan di Sukma.