HARAPAN untuk menyumbang mata buat skuad negara tidak kesampaian apabila Goh Jin Wei terpaksa akur dengan keampuhan perseorangan wanita Jepun, Tomoka Miyazaki, dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan C Piala Sudirman 2025 di Gimnasium Fenghuang, Xiamen, sebentar tadi.
Pemain berusia 18 tahun dari negara Matahari Terbit itu berada dalam kelas tersendiri apabila menundukkan Jin Wei 21-14, 21-17 dalam masa 38 minit — sekaligus menyumbang mata buat Jepun.
Jin Wei, yang kini menghuni ranking ke-47 dunia, mengakui jurang ketara yang memisahkan kualiti permainan mereka.
“Dia pemain yang sangat bagus dan saya rasa bertuah dapat bermain menentangnya. Saya belajar banyak daripada perlawanan ini. Dia jauh lebih baik daripada saya. Kawalan gelanggang, coverage, semuanya di tahap lebih tinggi,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Miyazaki, yang menduduki ranking ke-8 dunia, mempamerkan kepantasan, kematangan taktikal dan penyudah tajam, sekali gus mengekalkan rekod bersih sepanjang kempen peringkat kumpulan.
Kekalahan ini juga mengekalkan dominasi pemain muda Jepun itu ke atas Jin Wei, selepas turut menewaskannya dalam pertemuan antarabangsa sebelum ini.